KUALA LUMPUR: ASEAN perlu tampil dengan pendekatan yang jelas dan bersatu dalam menghadapi perubahan besar dalam landskap geopolitik dan geoekonomi global yang semakin mencabar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dunia kini sedang berdepan persaingan kuasa besar yang semakin sengit, perubahan rantaian bekalan global, serta pertembungan antara aspek teknologi, keselamatan dan ekonomi.
“Kita bertemu pada waktu di mana susunan dunia sedang mengalami perubahan mendalam. Proteksionisme semakin meningkat, multilateralisme sedang tertekan dan keputusan ekonomi kini sering dipengaruhi oleh kepentingan strategik, bukan semata-mata pertimbangan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mohamad menegaskan dalam menghadapi realiti baharu ini, ASEAN mesti kekal teguh dalam memperjuangkan kepentingan strategik bersama yang berteraskan ASEAN Centrality dan perpaduan serantau.
“Sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN tidak boleh berpendirian samar-samar. Kita mesti bersuara dengan jelas dan bersatu, memperjuangkan keterbukaan, neutral dan kemakmuran jangka panjang rantau ini,” tambahnya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan sistem perdagangan yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan antarabangsa serta mengelakkan konfrontasi yang boleh menggugat kestabilan serantau.
Merujuk kepada ASEAN Vision 2045, Mohamad menyatakan, pelan hala tuju tersebut menggambarkan aspirasi rantau ini untuk mencapai keseimbangan strategik, menggalakkan dialog dan membina kepercayaan antara negara-negara anggota serta rakan luar.
“Perdagangan dan pelaburan kini tidak lagi kebal daripada pergolakan geopolitik. Tugas kita ialah memastikan saling kebergantungan ekonomi menjadi jambatan kepada kerjasama, bukannya alat paksaan,” ujarnya.
Mohamad turut menyeru ASEAN supaya memperkukuh hubungan dengan rakan tradisional, sambil memperluas jaringan ekonomi baharu bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing rantau ini.
“Sempadan antara dasar luar dan dasar ekonomi kini semakin kabur dan ASEAN perlu bertindak secara bersama untuk menghadapi cabaran global yang kian kompleks.
“Geopolitik dan geoekonomi kini saling berkait rapat. ASEAN mesti bertindak secara strategik dan bersatu. Mesyuarat bersama ini membuktikan kesedaran kita terhadap keperluan itu,” katanya. – UTUSAN










