Anak muda perlu berani ceburi pelbagai bidang, sesuai perubahan pasaran kerja global - Utusan Malaysia

Anak muda perlu berani ceburi pelbagai bidang, sesuai perubahan pasaran kerja global

Muhammad Ashraf Zainal Abidin.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Golongan muda perlu berani meneroka pelbagai bidang serentak bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran kerja global, selaras dalam suasana ekonomi yang semakin dinamik.

Bagi seorang anak muda, Muhammad Ashraf Zainal Abidin,30, dia turut mengambil keputusan menceburi dua bidang iaitu media digital dan takaful yang mengecapi pelbagai pencapaian.

Graduan kejuruteraan dari Brunel University London itu menjalankan perniagaan ABIQ Group Sdn. Bhd. di ruang kerja kongsi WORQ iaitu jenama tempatan yang kini mempunyai lebih 11 lokasi di seluruh negara termasuk di TTDI, Bangsar South, Subang dan KL Gateway.

Memuatkan artikel berkaitan…

Diasaskan pada 2017, WORQ memainkan peranan penting dalam menggalakkan ekonomi gig dan budaya kerja fleksibel di Malaysia.

WORQ dikenali sebagai ruang kerja bersama yang pertama di Malaysia dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk surau yang luas dan selesa, sekali gus menjadikan pilihan utama dalam kalangan profesional dan usahawan.

Kata Pengarah Urusan ABIQ Group itu, WORQ menekankan nilai toleransi dan hormat antara agama dengan penyediaan ruang makan berasingan antara halal dan tidak bagi menjaga sensitiviti masyarakat majmuk tanpa mengabaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Bagi saya, WORQ bukan sekadar tempat bekerja tetapi ekosistem profesional yang menghormati nilai dan budaya tempatan. Ia memberi saya keseimbangan antara kerja, spiritual dan sosial,” katanya.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam bidang takaful dengan berperanan sebagai perunding kewangan yang membantu masyarakat memahami kepentingan perlindungan berasaskan prinsip syariah.

Pada masa sama, beliau turut mengurus syarikat media digital dengan menyediakan khidmat penghasilan kandungan dan pemasaran dalam talian serta mendapat lima tahun berturut-turut Million Dollar Round Table (MDRT) dan dinobatkan sebagai Court of Table (COT) pada 2024.

“Bidang Takaful memenuhi nilai kemasyarakatan manakala media digital membolehkan saya mengekspresikan kreativiti. Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga telah menjadi pemangkin penting dalam kerjaya media digital yang diusahakan. AI memudahkan kerja, dulu saya ambil masa dua hari untuk hasilkan satu video promosi, kini dengan bantuan AI saya mampu siapkan dalam beberapa jam

“Saya percaya kedua-dua bidang tersebut saling melengkapi dan industri takaful kini juga membuka peluang kerjaya dan membantu anak-anak muda memulakan kerjaya dalam perniagaan takaful tersebut,” katanya.

Meskipun memiliki latar belakang kejuruteraan, beliau bagaimanapun berjaya menggabungkan kemahiran teknikal dengan keusahawanan sosial, selari dengan semangat anak muda Malaysia yang kreatif dan berdaya tahan.

“Saya tidak mahu memilih antara minat dan tanggungjawab. Saya mahu keduanya kerana masa depan kerja bukan lagi tentang satu laluan, tetapi keupayaan mencipta peluang sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini