AMEM Ke-43 perkukuh kerjasama tenaga ASEAN

AMEM Ke-43 perkukuh kerjasama tenaga ASEAN

Sektor tenaga rentas sempadan melalui APG juga dijangka menjadi tumpuan dengan inisiatif ini dapat mengoptimumkan sumber tenaga boleh baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengukuhan kerjasama dan penetapan strategi masa depan bagi bidang tenaga yang selamat, mampan dan iklusif dalam kalangan negara ASEAN menjadi titik tumpuan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-43.

Mesyuarat empat hari berprofil tinggi yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan penglibatan semua Menteri Tenaga dan pegawai kanan negara-negara ASEAN.

Lebih 1,000 peserta dijangka hadir termasuk sekretariat, media serta delegasi serantau yang terdiri daripada 38 menteri dan pegawai kanan dari seluruh ASEAN.

Penganjuran AMEM kali ini signifikan kerana berlangsung ketika rantau ini berdepan cabaran global dalam sektor tenaga termasuk keperluan mendesak mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Mesyuarat ini juga bakal menjadi platform utama membincangkan hala tuju bersama bagi memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu selain mempercepatkan integrasi pasaran tenaga melalui inisiatif ASEAN Power Grid (APG).

Keputusan dan perjanjian yang bakal dimeterai dijangka memberi manfaat kepada rakyat di negara-negara ASEAN khususnya bagi menikmati bekalan tenaga yang stabil, mampu milik dan mesra alam. Selain itu, hasil mesyuarat ini juga berpotensi membuka peluang ekonomi baharu di samping menyokong aspirasi sifar bersih rantau ASEAN.

Agenda utama penganjuran AMEM kE-43 adalah pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030 dan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN.
Kedua-duanya akan menjadi panduan strategik utama untuk hala tuju tenaga serantau bagi lima tahun mendatang.

Malaysia memainkan peranan penting dalam memudah cara persetujuan semua negara anggota agar kedua-dua dokumen itu dijadikan rujukan utama khususnya dalam mempercepatkan agenda APG.

Langkah tersebut dijangka meletakkan ASEAN pada landasan lebih kukuh untuk meningkatkan integrasi tenaga rentas sempadan dan memperluas penggunaan tenaga bersih.

Sektor tenaga rentas sempadan melalui APG juga dijangka menjadi tumpuan dengan inisiatif ini dapat mengoptimumkan sumber tenaga boleh baharu yang dapat dimanfaatkan negara-negara anggota.

Sementara itu, selain negara anggota ASEAN, AMEM tahun ini turut disertai Timor Leste sebagai pemerhati serta beberapa rakan dialog utama seperti China, Jepun, Korea, India, Australia, dan Amerika Syarikat.

Turut hadir ialah wakil organisasi antarabangsa seperti International Energy Agency (IEA), International Renewable Energy Agency (IRENA), Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Bank Dunia, dan Asian Development Bank (ADB).

Selain pelancaran rasmi dokumen strategik APAEC 2026–2030, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA).

Juga akan diadakan Dialog Menteri–Ketua Pegawai Eksekutif yang mengumpulkan pemimpin industri tenaga yang dijangka turut membincangkan peluang pelaburan dan kerjasama baharu.

Anugerah Tenaga ASEAN yang akan diadakan semasa AMEM kali ke-43 bakal mengiktiraf kecemerlangan dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, dan amalan mampan, menonjolkan projek serta tokoh yang memacu inovasi dan kemajuan serantau.

Selain itu, beberapa mesyuarat berkaitan turut dijadualkan seperti Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Tenaga (SOME)+ 3 dan Mesyuarat Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM) yang memperkukuh hubungan tenaga antara ASEAN dan rakan luar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN