KOTA BHARU: Akmal Rizal Ahmad Rakhli gagal ujian sulung buat dirinya selaku pengendali baharu Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) selepas kalah 1-2 ditangan Sabah FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad bimbangan Akmal Rizal dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan TRW Damynov Damyan.
Empat minit berselang, Kelantan TRW bangkit menyamakan kedudukan menerusi Abdul Sesay yang tenang menampan masuk hantaran lintang Hein Htet Aung.
Abdul Sesay menggamatkan suasana Stadium Sultan Muhammad IV apabila menjaringan gol pada minit ke-31, namun dibatalkan selepas dikesan berada dalam kedudukan ‘ofsaid’.
Pemain Import Sabah FC, Ajdin Mujagic ‘mendiamkan’ penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-43 dan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan TRW terus menggadakan asakan untuk merapatkan jurang jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan.
Peluang terbaik tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-58, namun sepak percuma Muhammad Nor Azam Abdul Azih ditepis keluar oleh Damien Lim digawang gol Sabah FC.
Kelantan TRW terus bernafsu untuk mendapatkan jaringan penyamaan, namun ketumpulan penyudah terus menghantui tuan rumah.
Keputusan berkenaan menyaksikan Kelantan TRW berdepan laluan sukar dengan membawa defisit satu gol ke Kota Kinabalu, Sabah untuk perlawanan timbal balas pada 29 Oktober nanti.-UTUSAN