GUA MUSANG: Taktik licik 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai negara menaiki bas ekspres bagi mengelak daripada diperiksa dan dicekup oleh pihak berkuasa gagal selepas ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan semalam.
Kesemua PATI itu ditahan menerusi Operasi Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sekatan jalan raya di Stesen Penguatkuasa JPJ Mentara di sini.
Menurut jurucakap JIM Kelantan, kesemua PATI yang ditahan itu merupakan warganegara Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar dan Indonesia terdiri daripada 15 lelaki serta sembilan wanita.
“Daripada jumlah itu, PATI Indonesia yang paling ramai ditahan iaitu lapan, diikuti India dan Bangladesh (6), Myanmar (3) dan Pakistan (2).
“Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” kataya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 56(1 (1) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kesemua mereka ditahan semasa menaiki bas dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Kota Bharu.-UTUSAN