LOS ANGELES: Seorang wanita Amerika Syarikat didakwa di mahkamah semalam, atas tuduhan mendaftarkan anjing peliharaannya untuk mengundi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam tahun.
Laura Yourex, 62, sebelum ini memuat naik gambar di media sosial yang menunjukkan anjingnya, Maya Jean, memakai pelekat ‘I voted’ selepas pilihan raya gabenor California pada 2021.
Satu lagi hantaran pada Oktober 2024 memaparkan gambar tanda nama Maya bersama kertas undi pos dengan kapsyen ‘maya menerima kertas undinya’, walaupun anjing itu sudah mati.
Yourex, dari Costa Mesa di selatan Los Angeles, dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penipuan pengundian pada 2024.
Peguam daerah tempatan menjalankan siasatan sebelum dia didakwa dengan pelbagai jenayah termasuk sumpah palsu, mengemukakan atau menawarkan dokumen palsu atau dipalsukan, membuang undi tanpa kelayakan serta mendaftarkan individu tidak wujud untuk mengundi.
Selepas penampilan ringkas di mahkamah semalam, di mana dia tidak mengemukakan sebarang pengakuan, peguam Yourex berkata anak guamnya bertindak sedemikian bagi menonjolkan kelemahan yang dilihatnya dalam sistem.
“Laura Yourex amat menyesali tindakannya yang tidak bijak cuba mendedahkan kelemahan dalam sistem pengundian negeri, dengan niat untuk membuktikan seekor anjing juga boleh didaftarkan sebagai pengundi,” kata peguamnya, Jaime Coulter.
Coulter berkata, niat Yourex adalah supaya pihak berkuasa menyiasat dan akhirnya menambah baik sistem pendaftaran pengundi.
Menurut undang-undang pilihan raya California, warganegara boleh didaftarkan sebagai pengundi jika mereka mengemukakan afidavit, yang ditandatangani dengan sumpah, mengandungi nama, alamat kediaman, alamat surat menyurat, tarikh lahir dan pilihan parti politik.- AFP










