KUANTAN: Seramai 100 orang penduduk sekitar daerah ini menyertai program kesedaran kesihatan komuniti Usus Sihat, Minda Lagi Hebat anjuran Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, di sini kelmarin.
Program yang berlangsung di Dewan Banquet, Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan usus dan kaitannya dengan kesejahteraan mental.
Antara aktiviti yang mencuri tumpuan adalah Pertandingan Smoothie Smooth Your Gut yang menyaksikan kreativiti peserta dalam menghasilkan minuman berasaskan Yakult.
Kanak-kanak turut diberi peluang menyertai Bengkel Makanan Minda: Poket Mesra Usus yang mendidik mereka tentang pemakanan sihat.
Pemeriksaan kesihatan dan pameran turut diadakan dengan kerjasama Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang, sekali gus memberi nilai tambah kepada program tersebut.
Sesi forum kesihatan bertajuk Usus Sihat, Minda Lagi Hebat menjadi kemuncak program dengan penglibatan dua ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Wan Azdie Mohd Abu Bakar dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UIAM dan Fatin Eilyana Afandi, Kaunselor Berdaftar dari Pusat Asasi UIAM Gambang.
Forum tersebut dikendalikan oleh Penyelaras Perhubungan Awam dan Sains/Pegawai Dietetik Yakult Malaysia. Raewadee Bon Rit yang berkongsi maklumat saintifik tentang hubungan antara kesihatan usus dan kesihatan mental.
Pengarah Bersekutu Bahagian Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia, Mazlyn Mena Mustapha berkata, pihaknya komited menyampaikan maklumat berasaskan sains kepada masyarakat melalui program seumpama ini.
“Kami ingin memberi pendedahan tentang kepentingan penjagaan usus dan hubungannya dengan kesihatan mental. Usus yang sihat bukan sahaja melancarkan penghadaman malah mempengaruhi emosi, mood dan fungsi kognitif seseorang,” katanya.
Beliau berkata, pengambilan probiotik seperti Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain (LcS) secara harian membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus serta menyokong fungsi penghadaman.
Mengulas kajian saintifik di Jepun, katanya, pelajar perubatan yang mengambil Shirota strain selama lapan minggu menunjukkan paras hormon tekanan lebih rendah berbanding mereka yang tidak mengambil probiotik.
Kajian sama mendapati pengambilan probiotik tersebut mampu mengurangkan gejala ketidakselesaan abdomen seperti sakit perut dan selesema yang berpunca daripada tekanan akademik.
Majlis penutup program tumenyaksikan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan cenderahati menarik kepada para peserta.
Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan penaja seperti Elianware Enterprises Sdn. Bhd., The Pastels Shop, Fresh Life Water Resources Sdn. Bhd., Kewpie Malaysia Sdn. Bhd. dan Kuantan 188. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.yakult.com.my – UTUSAN.