PASIR PUTEH: Arena seni dikir barat kehilangan seorang tukang karut hebat, Tuan Kob Raja Saring atau Tuan Yacob Tuan Ismail, 69, yang meninggal dunia pagi tadi.
Tuan Kob meninggal dunia pada pukul 6 pagi di rumahnya di Kampung Pintu Pupoh di sini selepas mengalami sesak nafas.
Anak sulungnya Tuan Suharmila berkata, sebelum itu arwah ayah batuk pada pukul 4 pagi dan mengalami sesak nafas sejam kemudian.
“Kira-kira pukul 5.15 pagi, arwah ayah rebah semasa sedang bersiap-siap untuk ke hospital dan terus tidak sedarkan diri.
“Pada pukul 6 pagi, pegawai perubatan yang datang ke rumah dan mengesahkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tuan Suharmila memberitahu, jenazah arwah ayahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Merbuk selepas solat zohor.
Katanya, sebelum meninggal dunia arwah ayah sempat membuat persembahan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 semalam.
“Ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali makan dengan begitu berselera selain bergurau dengan cucu.
“Empat adik beradik saya yang lain menyambung kerja seni ayah sebagai tukang karut,” ujarnya.
Difahamkan sepanjang lebih 20 tahun bergiat dalam dunia dikir barat arwah pernah meletup dengan beberapa buah lagu seperti hantu moden, karut yengki, dikir teri dan banyak lagi.-UTUSAN