KOTA BHARU: Lelaki yang ditemukan mati dengan menggantung dirinya pada sebatang pokok selepas memukul anak saudaranya dengan sebatang tukul di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok, dekat sini kelmarin dipercayai tidak tidur dua minggu sebelum kejadian tersebut.
Bapa mangsa yang juga adik ipar suspek, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, dia juga tidak berjumpa dengan abang iparnya itu sepanjang tempoh tersebut apabila lelaki berkenaan hanya berkurung di dalam rumah kedai tersebut.
Menurutnya, suspek dikatakan sudah lama terlibat dengan penagihan pil kuda selain pernah dua kali ditahan pihak berkuasa.
“Sebelum ini, dia tidak pernah mengganggu isteri dan anak-anaknya termasuk keluarga saya. Dia dikatakan tidak tidur malam sejak dua minggu lalu dan sering berhalusinasi sepanjang tempoh tersebut.
“Saya tidak menyangka dia bertindak luar kawalan apabila sanggup memukul kepala anak saya, Muhammad Ammar, 7, dengan tukul,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, di sini malam tadi.
Muhammad Badrul berkata, kakaknya yang ditahan bagi membantu siasatan sudah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 4 petang semalam. – UTUSAN










