NARATHIWAT: Lelaki dari Pulau Pinang yang ditahan bersama dua laras raifal M16 serta ratusan butir peluru di Pekan Danok, Sadao, Sabtu lalu, dipercayai ‘pakar’ dalam penyeludupan senjata api.
Suspek juga dikatakan telah beberapa kali menyeludup senjata api ke Malaysia, selain terlibat dengan kumpulan penyeludupan senjata rentas sempadan.
Menurut sumber agensi keselamatan di Selatan Thailand, ia berdasarkan sejarah perjalanan suspek yang kerap keluar masuk ke negara ini,
Katanya, suspek yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Danok juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penyeludupan senjata rentas negara.
“Hasil siasatan dan bukti yang diperoleh, lelaki terbabit dipercayai pernah melakukan kegiatan itu sebelum ini. Ini bukan kali pertama. Ia konsisten dengan sejarah perjalanannya yang kerap keluar masuk (ke Thailand).
“Maklumat juga mendedahkan suspek mempunyai dua sabitan terdahulu di Malaysia iaitu menyerang dan pengedaran dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, lelaki terbabit diupah oleh seorang lagi rakyat Malaysia yang didakwa tinggal di Pulau Pinang dan dia belum dibayar RM10,000.
“Suspek disyaki mempunyai kaitan dengan warga Thailand di Wilayah Songkhla. Mengenai senjata api itu, suspek mengaku membuat persediaan untuk menyeludupnya ke Malaysia melalui pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Surachit Petchjom mengesahkan siasatan terperinci kini dilakukan bersama Unit Siasatan Jenayah Polis Wilayah 9 dan Songkhla.
“Pegawai forensik sedang mengumpul maklumat. Kami akan terus mengembangkan siasatan berdasarkan bukti untuk mengenal pasti siapa yang menerimanya dan siapa yang terlibat bertujuan melakukan tangkapan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 42 tahun ditahan di Pekan Danok di Daerah Sadao, dipercayai cuba menyeludup senjata api dan peluru ke Malaysia melalui sempadan Kedah dan Perlis.
Lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis yang mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Kanchanawanit, Danok, kira-kira jam 5.35 petang.
Pemeriksaan polis menemukan dua raifal M16 yang sebahagiannya telah dileraikan, di bahagian tempat duduk belakang kereta. Polis turut menemukan 300 butir peluru 5.56mm; 100 butir peluru .45mm; 50 butir peluru 9mm; dan tujuh katrij peluru 5.56mm.
Hasil siasatan, lelaki itu juga mengaku diupah pihak tertentu dengan bayaran RM10,000 untuk menyeludup senjata api berkenaan ke Malaysia.
Sumber agensi keselamatan juga percaya senjata api itu akan diseludup melalui jalan hutan di sempadan Kedah-Thailand atau Perlis-Thailand.
“Tak mungkin benda yang paling berbahaya itu hendak dibawa masuk melalui pusat pemeriksaan rasmi seperti di Bukit Kayu Hitam,” kata sumber itu. – UTUSAN










