Sultan Muhammad V puji Kelantan negeri pertama haramkan vape, shisha - Utusan Malaysia

Sultan Muhammad V puji Kelantan negeri pertama haramkan vape, shisha

SULTAN Muhammad V melakukan tabik hormat semasa Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan sempena hari keputeraan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memuji usaha kerajaan negeri yang menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik atau vape.

Baginda turut meramkam penghargaan kepada agensi penguat kuasa yang telah memberikan kerjasama dalam pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam Tahun 2024.

“Beta sambut baik inisiatif kerajaan negeri yang menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama yang menguatkuasakan penjualan vape dan shisha sejak 2015,” titah baginda semasa Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Sempena Hari Keputeraan ke-56 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

 

 

 

Sementara itu, Baginda turut menyambut baik pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang melibatkan beberapa inisiatif penting untuk negeri Kelantan termasuk hab ekonomi biru, menaik taraf infrastruktur bunkering, industri pembinaan dan pembaikan kapal serta menaik taraf Pelabuhan Tok Bali.

Baginda bertitah, semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri dan sektor swasta berpadu dalam menjayakan agenda itu.

“Ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan negara, semua pihak perlu memanfaatkan kekuatan negeri ini sebagai antara pengeluar utama hasil pertanian dan ternakan di Malaysia.

“Usaha ini penting bagi mengangkat Kelantan sebagai jelapang makanan negara sekali gus memperkukuhkan tahap jaminan sekuriti makanan negara,” titah baginda.

Baginda turut menghargai usaha semua pihak yang terus mengangkat sektor pelancongan di negeri ini melalui pelbagai produk baharu dan penganjuran pelbagai acara bertaraf dunia.

“Menjelang 2026, Kerajaan Kelantan perlu memanfaatkan peluang ini dengan mempromosikan produk pelancongan berpotensi tinggi merangkumi pelancongan bandar, kebudayaan, warisan sejarah, kesenian, gastronomi, pesisir pantai, eko, agro dan geo-pelancongan.

“Beta percaya rakyat Kelantan yang terkenal dengan keramahan dan nilai hospitaliti tinggi berupaya melonjakkan pelancongan berasaskan komuniti sebagai produk pelancongan masa depan negeri,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN