PETALING JAYA: Malaysia akan memanfaatkan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini untuk menegaskan pendirian negara berhubung isu Gaza serta serangan Israel ke atas Qatar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia komited membawa suara solidariti terhadap Palestin di platform serantau itu bagi menarik perhatian pemimpin kuasa besar dunia.
“Pada pertemuan dengan Presiden Trump, kita akan gunakan kesempatan tersebut untuk menegaskan pendirian Malaysia dalam usaha menuntut keadilan khususnya berkaitan Gaza dan Palestin,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar.
Anwar menyertai sidang kemuncak itu atas undangan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani susulan serangan rejim Zionis Israel ke atas Doha pada 9 September lalu.
Menurut beliau, sokongan Malaysia terhadap sidang kemuncak itu membuktikan kesepakatan negara Islam dan Arab dalam mengecam keras tindakan Israel, selain menyatakan solidariti penuh terhadap Qatar.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak tersebut, Anwar turut mendesak semua negara memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel sehingga kekejaman rejim itu dihentikan serta hak Palestin dipulihkan sepenuhnya.
“Dunia tidak boleh lagi berdiam diri. Kecaman semata-mata tidak memadai dan kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket serta peluru berpandu,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan serangan Israel terhadap Doha bukan sahaja mencabuli kedaulatan Qatar, malah tindakan rakus dan biadab yang melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam kestabilan serantau.
“Tindakan ini seolah-olah mahu merobek peranan besar Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim sebagai perantara perdamaian. Menyerang Doha bererti menyerang seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Gaza masih terus bergelumang dengan pertumpahan darah, hospital dibedil, manakala kanak-kanak tidak berdosa menjadi korban.
“Israel kini bukan sahaja menolak kewujudan negara Palestin, malah mengisytiharkan bentuk apartheid kekal serta menafikan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan semua bangsa yang menuntut keadilan serta keamanan. Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak,” katanya.
Delegasi Perdana Menteri turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar. – UTUSAN









