WASHINGTON: Sekumpulan Senator Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Parti Demokrat mengemukakan satu resolusi bagi mendesak Rumah Putih mengiktiraf negara Palestin.
Resolusi tidak mengikat yang dibawa oleh Senator Jeff Merkley dari Oregon itu dibuat menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September, di mana beberapa negara dijangka menyatakan pengiktirafan terhadap Palestin.
Di Dewan Perwakilan, Ahli Kongres Demokrat dari California, Ro Khanna turut mengemukakan cadangan undang-undang yang serupa.
Awal minggu ini, sebuah suruhanjaya PBB menyatakan pihaknya percaya terdapat asas munasabah untuk mengesyaki Israel bertanggungjawab terhadap jenayah genosid di Gaza.
Resolusi berkenaan menggesa Hamas meletakkan senjata dan membebaskan semua tebusan yang masih ditahan, di samping menuntut Israel menghentikan perang di Gaza serta perluasan penempatan di Tebing Barat.
Antara penandatangan lain ialah Chris Van Hollen dari Maryland, Tina Smith dari Minnesota, serta Peter Welch dan Bernie Sanders dari Vermont.
“Kita perlukan gencatan senjata segera, pembebasan tebusan, dan bantuan kemanusiaan yang mencukupi. Tetapi kita juga perlukan hala tuju yang jelas agar 30 tahun dari sekarang, Asia Barat dapat hidup dalam keamanan dan kemakmuran, bukan terus terperangkap dalam konflik ini.
“Saya dibesarkan dengan pandangan bahawa jalan terbaik ke arah keamanan adalah sentiasa berdiri bersama Israel supaya mereka berasa yakin untuk mencapai perjanjian. Namun kini, Israel tidak lagi berminat. Mereka berminat mengambil Tebing Barat dan Gaza,” kata Merkley dalam temu bual bersama New York Times.
Sementara itu, Van Hollen menyifatkan tindakan terkini Israel di Gaza sebagai satu kempen pembersihan etnik sambil menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah pilihan paling realistik untuk menjamin keselamatan, maruah dan penentuan nasib sendiri bagi rakyat Israel dan Palestin.
Bagaimanapun, cadangan itu dijangka sukar diluluskan di Senat yang dikuasai Republikan memandangkan tiada seorang pun senator parti pemerintah menyokongnya setakat ini.- AGENSI










