KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menegaskan beliau tidak perlu memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti yang diminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Ka Siong berkata, tuntutan hanyalah bagi mendapatkan penjelasan terhadap data rasmi yang dikeluarkan dan tidak pernah bermaksud menyerang mana-mana pihak.
“Setelah mendengar penjelasan saya, berdasarkan apa yang telah saya katakan, saya mesti minta maaf? Mereka memberitahu kami 85 tempat, tetapi saya boleh tunjukkan kepada mereka bahawa ia adalah tiga digit.
“Akmal, untuk apa saya minta maaf? Saya boleh tunjuk macam mana temberangnya, data ini tidak selaras. Kamu hendak paksa saya mohon maaf? Maaf apa? Tidak akan, maaf,” katanya pada sidang media mengenai isu pengambilan pelajar ke Universiti Awam (UA), hari ini.
Semalam, media melaporkan kenyataan Muhamad Akmal yang meminta Ka Siong memohon maaf kepada KPT berhubung kenyataannya mengenai isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke UA.
Muhamad Akmal berkata, kenyataan awal yang dibuat Ka Siong menimbulkan persepsi seolah-olah sistem kemasukan universiti sedia ada rosak, sedangkan terdapat lebih ramai calon lain yang memperoleh merit lebih tinggi.
Dalam pada itu, tambah Ka Siong, tindakan Muhamad Akmal untuk menyerangnya juga dilihat tidak wajar kerana beliau hanya memperjuangkan isu keadilan tanpa mengira kaum.
“Saya minta dia faham juga apa definisi madani. Saya tidak faham kenapa Akmal nak serbu saya. Saya bukan ‘serang’ dia. Saya hanya menyatakan satu kes.
“Ini bukan soal orang Cina, orang Melayu, orang India. Saya akan mempertahankan mana-mana pelajar. Kalau Melayu pun saya akan berdiri di sini untuk menegakkan keadilan. Itu prinsip saya. Saya tak akan berganjak,” katanya. – UTUSAN










