AMPANG: Agenda penyelesaian perumahan rakyat perlu menjadi perkara utama dalam penguatkuasaan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik semata-mata.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, apabila rakyat diutamakan pelbagai bantuan dan skim khas diwujudkan bagi menyelesaikan isu perumahan rakyat termasuk penyelenggaraan rumah-rumah pangsa lama.
“Walaupun tanpa PSB, kerajaan negeri tetap menyalurkan bantuan penyelenggaraan kepada pangsapuri-pangsapuri melalui program seperti Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Skim CERIA) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pada tahun ini sahaja, empat pangsapuri di bawah Parlimen Ampang bakal menerima bantuan daripada TPPM dan Skim CERIA dengan implikasi kewangan berjumlah RM4.4 juta,” katanya kepada pemberita semasa program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor Peringkat Ampang Jaya, di sini, semalam.
Beliau berkata, menjelang 2029, kerajaan negeri komited menyiapkan 200,000 unit Rumah Mampu Milik melalui skim pemilikan dan penyewaan termasuk Rumah Selangorku, Idaman MBI dan Skim Smart Sewa.
Selain itu, Borhan memaklumkan, Dana Strata Selangor dengan peruntukan awal RM10 juta diwujudkan bagi mempercepatkan penyelesaian hak milik strata membabitkan lebih 138,000 unit kediaman yang belum mempunyai hak milik sehingga Januari 2025.
“Antara kekangan utama ialah ada pemilik asal sudah meninggal dunia dan waris tidak melengkapkan dokumen. Jadi, kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan rumah ini terus selamat didiami,” ujarnya.
Jelasnya, pembangunan semula turut dirancang bagi rumah pangsa lama yang uzur dan tidak selamat, selain mempertimbangkan pembinaan parkir bertingkat bagi mengatasi masalah ruang terhad di kawasan bandar.
“Kerajaan mahu memastikan kemudahan penting seperti sekolah, tadika dan perpustakaan disediakan supaya penduduk tidak perlu menghantar anak jauh untuk bersekolah,” tambahnya.
Mengulas mengenai program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor, beliau berkata, ia menjadi platform penting kerajaan negeri mendekati masyarakat bandar dan mengenal pasti masalah setempat.
“Masalah seperti lif rosak, bumbung bocor, jalan berlubang dan cat pudar dapat dikenal pasti dan diselesaikan secara berperingkat hasil kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan (MC) Pangsapuri Desa Lembah Permai, Blok 1, Mohammad Isa Salbin, 71, berkata, majlis itu memberi peluang untuk penduduk berkumpul dan berbincang bagi mencari penyelesaian bersama. – UTUSAN