MELAKA: Penulisan tentang sejarah negara mesti mempunyai fakta sebenar Malaysia yang perlu diketahui oleh rakyat berdasarkan penyelidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah negara juga tidak boleh ditentukan oleh pihak penjajah.
“Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang banyak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat Malaysia telah menulis satu karya yang sangat relevan dalam Persidangan Ahli Sejarah Asia.
“Dalam tulisan tersebut beliau menyebut jika kita ingin berlaku jujur kepada negara kita, warisan kita, sejarah kita ia tidak boleh ditentukan oleh pihak penjajah.
“Sejarah kita tidak boleh ditundukkan seperti yang ditulis mengenai hamba di negara ini. Kami mempunyai tamadun dan kami mempunyai peluang untuk menjadi rakan dagangan utama.
“Kami terlibat dengan barat, kami terlibat dengan timur, dengan kerajaan China, dengan wakil Maharaja China, dengan Laksamana Cheng Ho dan kami juga berkesempatan mengenali Puteri Hang Li Po,” ujarnya ketika berucap merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di sini malam ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Melaka adalah sebuah tamadun Islam yang hebat dan pusat pemerintahan yang baik dan semua orang tahu Melaka dijajah oleh Portugis pada 1511.
“Kami tahu bagaimana untuk memerintah dan melibatkan diri dengan dunia. Mereka memberitahu kami sekarang bahawa globalisasi adalah ciri terkini. Itu semua mengarut sungguh.
“Apa yang dilakukan Laksamana Cheng Ho bukankah itu globalisasi? Apakah tamadun Arab dahulu, bukankah tamadun, globalisasi? Apa yang Melaka dalam beberapa ratus tahun kebelakangan ini, sudah tentulah dinamakan globalisasi,” ujarnya.
Beliau berkata, justeru adalah amat penting pembinaan semula sejarah Malaysia seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Melaka menjejak sejarah Kesultanan Melayu Islam yang agung.
Anwar turut mengakui akan keunikan sejarah tamadun Melaka kerana ia mempunyai kekuatan sejarah yang tiada tandingan di rantau ini yang mendorongnya memilih Melaka menjadi tuan rumah peluncuran VM2026.
“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia merasa bangga dan ucap taniah dan setuju dengan peluncuran ini dan menjadikan Melaka ini sebagai satu tarikan istimewa yang unik dari segi sejarahnya, kesegarannya, budaya dan seni,” ujarnya.
Kata Perdana Menteri, beliau amat berbangga dengan pelancaran VM2026 yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama yang hebat, walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan.-UTUSAN.










