Penduduk bimbang anjing liar semakin agresif

Penduduk bimbang anjing liar semakin agresif

KUMPULAN anjing liar yang sering berada di taman permainan Taman Saujana Sekata, Kajang, Selangor menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Penduduk di sekitar kawasan Sungai Merab di sini semakin bimbang dengan kehadiran kumpulan anjing liar yang disifatkan mereka semakin agresif.

Seorang penduduk Taman Saujana Sekata di sini yang mahu dikenali sebagai Zamri, 45, mendakwa, lima ekor anjing liar memasuki rumahnya kira-kira pukul empat pagi, baru-baru ini.

Katanya, ketika dia keluar untuk menghalau, ketiga-tiga ekor arnab peliharaannya sudah mati bergelimpangan di sekitar sangkar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anjing-anjing ini semakin berani untuk cari makanan sehingga masuk ke kawasan rumah orang. Anak dan isteri saya sangat terkejut dengan kejadian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, persatuan penduduk pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai isu berkenaan namun tiada tindakan tegas yang diambil.

“Selepas membuat aduan kali pertama, pihak berkuasa hanya datang meninjau dan anjing tidak berjaya ditangkap.

“Selepas arnab saya mati barulah nampak ada tindakan susulan untuk betul-betul mencari dan menangkap anjing liar tersebut,” katanya.

Dakwanya lagi, masalah itu mula serius sejak projek pembinaan perumahan baharu dijalankan di kawasan berhampiran tahun lalu.

“Kawasan ini dulu tenang, tetapi sekarang jadi tempat berkumpul anjing liar. Ia memang meresahkan kami sebagai penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, pada tahun lalu tiga ekor kucing milik jirannya turut mati akibat serangan anjing liar.

Katanya, kumpulan haiwan itu kerap berkeliaran di taman permainan sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan kanak-kanak.

“Kami bimbang keselamatan anak-anak yang bermain waktu petang. Kami terpaksa menyuruh anak-anak bermain di kawasan rumah dan tidak dapat beriadah di taman permainan kerana bimbang diserang oleh haiwan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Amirul Hafiy Irfan, 22, berkata, anjing liar juga kerap berkeliaran di kawasan riadah hingga mengganggu penduduk.

“Tempat yang sepatutnya jadi lokasi kami berkumpul dan beriadah sudah tidak selamat. Kalau ramai-ramai kami berani halau, tetapi kalau seorang diri memang tidak sanggup,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini