DOHA: Pemimpin Arab dan Islam mendesak semakan semula hubungan diplomatik dengan Israel selepas mengadakan sidang tergempar di Doha semalam, susulan serangan maut rejim tersebut terhadap anggota Hamas di ibu negara Qatar minggu lalu.
Sidang bersama Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menghimpunkan hampir 60 negara itu menuntut tindakan tegas bagi menghalang Israel daripada terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Kenyataan bersama mesyuarat itu menggesa semua negara anggota mengambil langkah undang-undang serta tindakan berkesan termasuk menyemak hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel, selain mengusahakan penggantungan keanggotaan negara tersebut di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang itu turut dihadiri Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Bagaimanapun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi, negara yang menandatangani Perjanjian Abraham dengan Israel lima tahun lalu hanya menghantar wakil kanan dan tidak dihadiri pemimpin tertinggi.
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani ketika berucap, menuduh Israel sengaja menggagalkan rundingan gencatan senjata dengan menyerang delegasi Hamas yang berada di Doha.
“Siapa yang berusaha membunuh pihak lawan rundingan, jelas berniat menggagalkan rundingan tersebut,” katanya.
Serangan pada minggu lalu mengorbankan enam orang, namun pemimpin tertinggi Hamas dilaporkan terselamat.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pula menegaskan, tindakan Israel di Doha bakal menggagalkan sebarang peluang perjanjian damai baharu malah boleh meruntuhkan perjanjian sedia ada dengan negara-negara Arab.
Turkiye pula menyifatkan Israel sebagai mempunyai mentaliti pengganas, manakala Presiden Iran memberi amaran esok mungkin giliran mana-mana ibu negara Arab atau Islam pula diserang.
Sementara itu, negara-negara Teluk turut mengadakan pertemuan di luar sidang dan mendesak Amerika Syarikat (AS) menggunakan pengaruhnya bagi mengekang Israel.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Al-Budaiwi berkata, Washington perlu menggunakan ‘pengaruh dan tekanannya’ terhadap Tel Aviv.
Dalam masa sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dijadual tiba di Qatar hari ini bagi menyatakan sokongan penuh terhadap keselamatan Doha selepas serangan Israel itu sekali gus merumitkan lagi hubungan Washington dengan sekutunya di Teluk. -AGENSI










