WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump meminta Kongres meluluskan peruntukan tambahan sebanyak AS$58 juta (RM243 juta) untuk perkhidmatan keselamatan bagi melindungi ahli cabang eksekutif dan kehakiman susulan pembunuhan aktivis sayap kanan, Charlie Kirk.
Walaupun kerajaan juga menyokong usaha menambah perlindungan untuk ahli Kongres, mereka menyerahkan keputusan lanjut kepada pihak legislatif.
Kirk, sekutu rapat Trump, ditembak mati ketika berucap di hadapan 3,000 pelajar universiti di Utah minggu lalu.
Insiden berprofil tinggi itu mencetuskan kemarahan blok konservatif yang menuding jari kepada golongan liberal, sehingga mendorong beberapa ahli politik membatalkan acara mereka berikutan kebimbangan terhadap keselamatan serta ancaman diterima.
Perkembangan itu berlaku ketika The Guardian pada Ahad melaporkan insiden keganasan politik di Amerika Syarikat (AS) meningkat mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Lebih 520 rancangan dan serangan keganasan bersasar berlaku di hampir semua negeri AS dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Sekurang-kurangnya 96 orang terbunuh dan 329 lagi cedera akibat keganasan tersebut.
Jumlah itu turut menunjukkan peningkatan hampir 40 peratus berbanding enam bulan pertama 2024, menurut Kajian Keganasan dan Respons terhadap Keganasan di Universiti Maryland.
Minggu lalu, Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson berkata, pemimpin Kongres sedang menilai semula tahap keselamatan untuk ahli Parlimen.
“Kita perlu melindungi individu yang bertanding jawatan awam, jika tidak tiada siapa yang mahu tampil. Hal ini sangat membebankan fikiran kami,” katanya.
Permintaan dana tambahan itu dibuat menjelang tarikh akhir pembiayaan kerajaan pada 30 September, ketika Kongres berdepan pertelagahan mengenai rang undang-undang penjagaan kesihatan yang boleh mencetuskan penutupan kerajaan.










