ARAU: Bagi generasi lama, jelapang padi dan peralatan seperti sukatan padi atau beras yang sudah tidak digunakan lagi kini mempunyai nilai nostalgia cukup berharga buat mereka.
Ini kerana dahulu jelapang padi cukup sinonim dalam kalangan pesawah sebagai tempat menyimpan serta memproses padi yang lazimnya didirikan tidak jauh dari kawasan rumah.
Namun, peredaran masa menyaksikan rumah padi itu sudah tidak lagi berfungsi kerana padi yang sudah dituai akan terus dibawa ke kilang.
Bagi mengekalkan warisan itu, seorang pesara guru dari Kampung Mata Ayer, di sini, mengumpul peralatan-peralatan padi lama berusia ratusan tahun itu untuk disimpan di rumahnya sebagai koleksi peribadi.
Selain jelapang padi berusia lebih 100 tahun, Mohamad Jusoh Md Isa, 63, juga menyimpan beberapa koleksi peralatan padi lama antaranya alat sukatan makanan ruji itu seperti gantang, cupak, kepul dan kal serta pelbagai lagi.
Katanya, jelapang padi juga mempunyai pelbagai panggilan seperti kepuk, baloh, kuwi dan tepah yang berfungsi untuk menyimpan padi yang telah kering.
Katanya, penyimpanan tersebut bagi kegunaan pada masa hadapan atau apabila diperlukan dengan lazimnya dimiliki oleh keluarga kaya.
“Saya juga ada menyimpan alat sukatan padi atau beras yang tidak lagi digunakan dan sukar ditemui khususnya selepas penukaran rasmi kepada sistem sukatan metrik pada tahun 1977.
“Jelapang padi yang berada dalam keadaan baik di luar rumah itu pula dianggarkan berusia lebih 100 tahun dan diperbuat daripada kayu tembusu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Jusoh berkata, dia membeli jelapang padi tersebut daripada salah seorang penduduk sekitar kawasan Mata Ayer dengan harga RM500 pada tahun 2000.
“Mungkin selepas ini, orang hanya akan tahu nama jelapang padi, cupak, gantang dan sebagainya namun mereka tidak dapat lihat sendiri jika ia tidak disimpan dengan baik. Sebab itu, saya ambil pendekatan untuk menyimpan koleksi semua barangan-barangan ini agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.-UTUSAN.










