Nilai Adat Perpatih seiring aspirasi Malaysia Madani

Nilai Adat Perpatih seiring aspirasi Malaysia Madani

WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika hadir pada Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat Madani JPA Tahun 2025 di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini. -UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Nilai terkandung dalam Adat Perpatih yang diamalkan sebahagian masyarakat di Negeri Sembilan seperti muafakat, tolong-menolong, menjaga maruah serta hormat-menghormati adalah seiring dengan prinsip Malaysia Madani.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, melihat kebersamaan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat Madani JPA 2025 di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti di sini.

“Nilai-nilai pada Adat Perpatih seperti muafakat, tolong-menolong, menjaga maruah dan hormat-menghormati sebenarnya seiring dengan prinsip Malaysia Madani.  Ini kerana kedua-duanya menekankan kepentingan masyarakat yang inklusif, berperikemanusiaan dan saling melengkapi.

“Majlis seperti ini bukan sahaja memperingati warisan, tetapi juga mengingatkan kita bahawa nilai-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai dan aspirasi baharu.

“Semoga generasi muda hari ini juga tidak memandang adat hanya sebagai ritual semata-mata tetapi juga sebagai panduan hidup yang membentuk disiplin, perpaduan, dan rasa cinta kepada tanah air,” katanya sewaktu berucap merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wa­nita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kecil JPA, Puan Sri Azlifah Bahari.

Sementara itu, program berkenaan turut menampilkan dua adat penting dalam sistem warisan Perpatih iaitu Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodin yang menjadi simbol amanah kepimpinan, penerimaan persaudaraan dan semangat muafakat.

“Upacara seperti ini menzahirkan semangat muafakat, kepatuhan kepada tertib, serta penghormatan terhadap kepimpinan yang menjadi asas kepada kestabilan masyarakat sejak turun temurun.

“Sehubungan dengan itu, melalui inisiatif Kampung Angkat Madani ini, ia bukan sahaja membawa pembangunan fizikal kepada kampung malah merupakan pendekatan holistik yang menghubungkan perkhidmatan awam dengan rakyat di peringkat kampung.

“Penglibatan pegawai awam yang turut serta pada hari ini menjadikan cabang inisiatif Madani ini sebagai penghubung masyarakat dan pembuat dasar,” kata Wan Ahmad Dahlan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN