MOSCOW: Russia memfailkan rayuan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusan yang meletakkan tanggungjawab ke atas Moscow dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH17, yang ditembak jatuh dan meragut 298 nyawa di Ukraine pada 2014.
Kes itu difailkan oleh Australia dan Belanda, dua negara dengan jumlah korban tertinggi, yang meminta Russia bertanggungjawab serta membayar ganti rugi.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dengan peluru berpandu BUK buatan Russia di wilayah Donetsk, kawasan konflik antara pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
Mei lalu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan tuntutan Australia dan Belanda ‘berasas dari segi fakta dan undang-undang’.
Namun, dalam permohonan rayuan difailkan pada Khamis, Russia berhujah ICAO ‘tersilap’ dalam mentafsirkan Konvensyen Chicago 1944, dengan mendakwa ia tidak terpakai dalam situasi konflik bersenjata serta menuduh penyiasat mengabaikan bukti yang dikemukakan Moscow.
Pada 2022, sebuah mahkamah di Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga lelaki berhubung tragedi itu, termasuk dua warga Russia.
Bagaimanapun, Moscow tetap enggan mengekstradisi mereka.- AFP











