Mendapan tanah punca jalan runtuh di Bangkok

Mendapan tanah punca jalan runtuh di Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sebahagian jalan di daerah Dusit berhampiran Sungai Chao Phraya di Thailand runtuh pada pada Rabu, menyebabkan kemudahan berdekatan rosak serta menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi waktu tempatan, polis trafik melaporkan permukaan jalan di hadapan Hospital Vajira sepanjang Jalan Samsen runtuh sehingga menyebabkan paip air pecah.

Pihak berkuasa menutup laluan trafik untuk membolehkan kerja pembaikan segera dijalankan.

Pihak berkuasa daerah mengumumkan penutupan segera trafik dari persimpangan Vajira hingga ke persimpangan Sanghi serta kawasan sekitarnya.

Runtuhan jalan berlaku berhampiran tapak pembinaan Stesen MRT baharu Vajira, berhadapan Hospital Vajira.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mendapan besar jalan raya, sekali gus membentuk kawah berukuran kira-kira 30 meter, sedikit besar daripada saiz kolam renang Olimpik, dengan kedalaman 50 meter.

Dua tiang elektrik dan sebuah trak tunda milik Balai Polis Samsen turut terhumban ke dalam lubang besar tersebut.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt menjelaskan, kejadian berpunca daripada mendapan tanah ke dalam terowong metro bawah tanah di persimpangan antara terowong dengan stesen.

“Apabila bumbung stesen rosak, tanah di atasnya mengalir masuk ke dalam terowong dan ruang bawah tanag yang masih dalam pembinaan, sekali gus menyebabkan bangunan berdekatan turut mendap.

“Bahagian jalan menghala ke Jambatan Sanghi masih stabil, namun bahagian yang runtuh mempunyai tanah lembut dan tiada struktur sokongan,” katanya.

Hospital Vajira mengumumkan semua perkhidmatan pesakit luar digantung sementara, dengan kira-kira 3,500 janji temu akan dijadualkan semula secepat mungkin.

Pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, namun pesakit serta penduduk berhampiran sedang dipindahkan dari kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN