SHAH ALAM: Malaysia mencapai 30 peratus penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran kapasiti kuasa sekali gus bakal merealisasikan sasaran ditetapkan tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu menghampiri sasaran 31 peratus di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Pencapaian terkini itu membuktikan pelaksanaan NETR berada pada landasan tepat dan kerajaan komited meningkatkan keupayaan tenaga hijau.
“Kita optimis dapat mencapai hala tuju dan sasaran TBB 31 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan Projek Solar Kediaman di bawah Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM), hari ini.
Utusan Malaysia pada Julai lalu melaporkan Malaysia bakal melaksanakan sistem pasaran tenaga elektrik lebih inovatif berasaskan kos sebenar penjanaan termasuk TBB selaras agenda ekonomi hijau yang menjadi teras pembangunan mampan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang 2030 yang bukan saja meningkatkan kecekapan sistem tenaga malah membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan lebih luas.
Mengulas lanjut, kata Fadillah, NETR yang dilancarkan pada Julai 2023 berjaya menarik sekurang-kurangnya RM25 bilion pelaburan daripada sektor awam dan swasta setakat ini.
“Antara inisiatif utama termasuk peruntukan dana pemangkin RM2 bilion oleh Kerajaan Persekutuan, penggubalan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga 2023 serta pembentangan Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
“Selain itu, proses bidaan kompetitif pusingan kelima dan 5+ (plus) bagi penjanaan solar berskala besar berkapasiti 4,000 megawatt (MW) berjaya diselesaikan.
“Pelancaran Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) turut memberi peluang syarikat mendapatkan bekalan elektrik hijau menerusi grid sekali gus memperkukuh penggunaan tenaga hijau,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan meluluskan tambahan kapasiti TBB sebanyak 5.5 gigawatt (GW) yang diterjemahkan kepada nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM20 bilion.
“Perkembangan itu dijangka menyumbang ke arah sasaran pelaburan antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang 2050.
“Peta Jalan Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER) yang dilancarkan pada 2021 juga menyasarkan mencapai bahagian tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus atau 12.9 GW tahun ini, 40 peratus atau 18 GW pada 2035 dan mencapai 70 peratus menjelang 2050,” jelasnya.
Tambah Fadillah, kepekatan pelepasan karbon negara disasar untuk dikurangkan 45 peratus pada 2030 dan seterusnya 60 peratus pada 2035 selaras sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDCs) Perjanjian Iklim Paris. – UTUSAN










