PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron merancang untuk mengemukakan bukti saintifik di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) bagi mengesahkan isterinya, Brigitte, tidak dilahirkan sebagai lelaki.
Pasangan itu memfailkan saman pada Julai lalu terhadap personaliti konservatif berpengaruh, Candace Owens serta syarikat miliknya, dengan mendakwa Owens melancarkan siri serangan fitnah berterusan demi melonjakkan profil platform medianya, menarik lebih ramai pengikut dan meraih keuntungan.
Owens sebelum ini mendakwa Brigitte sebenarnya seorang lelaki bernama Jean-Michel Trogneux, malah pada tahun lalu beliau sanggup mempertaruhkan seluruh reputasi profesional atas dakwaan tersebut.
Owens juga mempertahankan tuduhan itu melalui sebuah siri podcast lapan episod.
Peguam pasangan Macron, Tom Clare, daripada firma Clare Locke yang pernah memenangi beberapa kes fitnah berprofil tinggi, memberitahu podcast Fame under Fire terbitan BBC, Brigitte Macron amat tertekan dengan tuduhan tersebut dan ia turut mengganggu Presiden Perancis.
Khabar angin kononnya Brigitte dilahirkan sebagai lelaki mula tular di Perancis pada 2021.
Brigitte dan saudaranya, Jean-Michel Trogneux, sebelum ini pernah memenangi saman fitnah terhadap dua penulis blog, Amandine Roy dan Natacha Rey.
Namun, mahkamah rayuan kemudian memutuskan kes tersebut tidak menepati takrif undang-undang fitnah.
Brigitte Macron dan abangnya kini membawa kes itu ke Mahkamah Agung Perancis.
Sementara itu, saman terhadap Owens mendakwa, beliau mengabaikan bukti yang menafikan dakwaannya dan sebaliknya memberi ruang kepada pihak yang menyebarkan teori konspirasi.
Peguam kepada pempengaruh itu mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman, dengan alasan ia tidak sepatutnya difailkan di Delaware, negeri di mana syarikatnya didaftarkan kerana kes tersebut tidak berkaitan dengan perniagaan berkenaan.
Owens pula menegaskan beliau tetap berpegang pada dakwaannya. -AGENSI











