COPENHAGEN: Ruang udara di Lapangan Terbang Aalborg, Denmark terpaksa ditutup selepas beberapa dron dikesan berhampiran kawasan itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif lapangan terbang, Niels Hemmingsen semalam.
Insiden berkenaan merupakan kali kedua pada minggu ini, apabila lapangan terbang negara tersebut terpaksa menghentikan operasi akibat pencerobohan dron.
Pesuruhjaya Polis Kebangsaan Denmark, Thorkild Fogde mengesahkan pihaknya masih menyiasat dalang di sebalik kejadian itu dan tidak menolak pelbagai kemungkinan.
“Sekali lagi, kami mengesahkan objek yang menceroboh ruang udara lapangan terbang adalah dron,” katanya sambil menambah laporan turut diterima mengenai kemunculan dron di sekurang-kurangnya tiga lapangan terbang lain pada malam Rabu hingga pagi Khamis.
Bagaimanapun, katanya, hanya kejadian di Aalborg sahaja yang berjaya disahkan.
Menurut Fogde, polis tidak menolak kemungkinan untuk menembak jatuh dron terbabit, namun ia berdepan pelbagai kekangan.
“Anda perlu ada peralatan sesuai, mampu menghampiri dron ketika ia terbang dan melakukannya tanpa menjejaskan keselamatan penerbangan di sekitar lapangan terbang. Faktor keselamatan awam juga perlu diambil kira,” jelasnya.
Lapangan Terbang Aalborg juga berfungsi sebagai pangkalan udara aktif, namun tidak diketahui jenis aset ketenteraan yang ditempatkan di situ.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga penerbangan masuk terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala dua penerbangan keluar dan satu penerbangan masuk dibatalkan, menurut data FlightRadar24.
Isnin lalu, operasi di Lapangan Terbang Copenhagen turut tergendala hampir empat jam selepas dua hingga tiga dron bersaiz besar dikesan di ruang udara berkenaan.
Fogde berkata, corak pencerobohan di Aalborg adalah hampir sama dengan kejadian di Copenhagen.
“Dron yang tidak dibenarkan terbang merentasi kawasan lapangan terbang, menceroboh keselamatan dan melanggar undang-undang ruang udara,” katanya.
Beliau turut menegaskan, dron yang dikesan di Copenhagen bukan dron amatur atau hobi, sebaliknya dron bersaiz besar yang dikendalikan oleh operator berkemahiran tinggi.
Eropah kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa dron Russia dikesan menceroboh ruang udara Poland dan Romania awal bulan ini, sekali gus mendorong sekutu NATO berikrar memperkukuh pertahanan di bahagian timur blok tersebut. – AGENSI











