Korea Utara lap barang disentuh Kim Jong Un selepas jumpa Putin

Korea Utara lap barang disentuh Kim Jong Un selepas jumpa Putin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kakitangan Korea Utara dilihat berhati-hati mengelap barangan yang disentuh Kim Jong Un selepas pemimpin itu bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin di Beijing.

Menurut penganalisis, langkah itu merupakan sebahagian daripada prosedur keselamatan bagi menangkis pengintip asing.

Rakaman pada Rabu lalu menunjukkan tindakan luar biasa, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai usaha Pyongyang menyembunyikan sebarang petunjuk tentang kesihatan Jong Un, walaupun pertemuan berkenaan memperlihatkan bibit persahabatan dengan Moscow.

Wartawan Kremlin, Alexander Yunashev, turut berkongsi rakaman di Telegram yang memaparkan dua kakitangan Jong Un teliti membersihkan bilik di Beijing, tempat beliau dan Putin mengadakan pertemuan lebih dua jam.

Kerusi turut dilap, manakala meja kopi di sebelah kerusi Jong Un juga dibersihkan. Gelas minumannya turut dibawa keluar.

“Selepas rundingan selesai, kakitangan yang mengiringi ketua DPRK berhati-hati menghapuskan semua jejak kehadiran Jong Un,” kata wartawan itu.

DPRK ialah singkatan bagi nama rasmi Korea Utara, Republik Demokratik Rakyat Korea.

Selepas perbincangan di bilik tersebut, Jong Un dan Putin bergerak ke sesi minum teh sebelum berpisah.

Seperti dalam lawatan luar negara sebelum ini, Jong Un membawa tandas peribadinya di dalam kereta api hijau khas yang membawanya ke Beijing bagi menyembunyikan sebarang petunjuk mengenai kesihatan, lapor akhbar Nikkei.

Langkah tersebut menjadi protokol biasa sejak era pendahulu, iaitu bapanya Kim Jong Il, kata pakar kepemimpinan Korea Utara yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Michael Madden.

“Tandas khas dan beg sampah berisi sisa, buangan serta puntung rokok adalah untuk memastikan agensi perisikan asing, walaupun yang bersahabat, tidak memperoleh sampel dan menjalankan ujian,” kata Madden.

Pada 2019, selepas sidang kemuncak di Hanoi bersama Presiden AS, Donald Trump, pengawal Jong Un dilihat menutup lantai bilik hotelnya untuk dibersihkan selama berjam-jam serta membawa keluar beberapa barangan, termasuk tilam.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN