IPOH: Kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi Perak mendorong dua remaja perempuan pelajar kursus fesyen dan pakaian di Kolej Komuniti Batu Gajah berhasrat membuka butik pakaian apabila tamat pengajian kelak.
Anak jati Perak, Hani Illyana Mierza Noor Hafiz dan Aliah Izzati Affandi masing-masing berumur 19 tahun berkata, impian itu boleh dilaksanakan dengan pelbagai sokongan dan bantuan dana yang diterima daripada kerajaan Perak.
“Selain mengikuti pengajian secara konsisten di kolej, semasa cuti semester kami juga terlibat dalam kursus jangka masa pendek anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
“Kursus-kursus ini banyak membantu meningkatkan kemahiran kami malah didedahkan dengan asas-asas perniagaan seperti pemasaran, pengurusan kewangan selain pengiraan efektif bahan-bahan untuk menghasilkan pakaian,” kata Hani Illyana Mierza.
Kursus-kursus anjuran Pasak dan STeP menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berbentuk kemahiran.
“Saya juga difahamkan, kedua-dua agensi ini turut membantu menawarkan geran berbentuk barangan dan peralatan kepada peserta jadi ia banyak membantu berkenaan modal permulaan bagi butik saya kelak,” katanya.
Mereka mahu merebut peluang daripada limpahan ekonomi yang berlaku susulan beberapa projek pembangunan ekonomi di negeri ini.
Antaranya Lembah Teknologi Tinggi Automotif, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) serta Taman Teknologi Silver Valley (SVTP).
“Ribuan pekerjaan akan diwujudkan dan saya yakin agak ramai yang ingin berkahwin dan menetap di negeri ini jadi peluang perniagaan butik perkahwinan ini perlu direbut dengan segera bagi meningkatkan taraf sosial.
“Pengajian saya akan tamat pada tahun depan dan saya bercadang membuka butik secara kecil-kecilan di kediaman keluarga di Lahat sebelum memperkembangkannya dengan mempunyai premis sendiri tidak lama kemudian,” katanya.
Hani Illyana Mierza merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik turut menerima Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP) sekali bayar sebanyak RM300.
Bantuan kerajaan negeri ini menepati flagship keempat Perak Sejahtera 2030 iaitu Koridor TVET Malaysia iaitu Latihan Modular Pacuan Industri.
Ini juga menepati flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.
Bagi Aliah pula, dia ingin membuka butik pakaian sendiri kerana percaya negeri Perak menuju ke arah status negeri maju dengan ramai penduduknya bakal berpendapatan tinggi.
“Permintaan terhadap industri fesyen pasti berkembang pesat dan melibatkan pertambahan bilangan keluarga di serata negeri ini ekoran perkembangan industri secara konsisten.
“Sekarang, saya juga tidak menang tangan kerana turut mengambil tempahan dan menjahit kembali pakaian jiran-jiran taman yang koyak serta mengalami kerosakan kecil,” katanya.-UTUSAN.