Jemput Trump, Gaza tetap dibela

Jemput Trump, Gaza tetap dibela

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan pelajar dan orang ramai yang hadir pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, semalam. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di ibu negara, bulan depan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu bijak berun­ding dan mengatur langkah berstrategi di samping lantang bersuara dalam mempertahankan kebenaran.

Beliau berkata, buktinya, Malaysia tetap dihormati dunia ke­rana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan termasuk menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.

“Sebab itu, kita perlu pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” katanya pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sam­butan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa kerajaan supaya membatalkan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Dr. Mahathir berkata, AS terus membekalkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi meneruskan pembunuhan rakyat Palestin.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya memba­talkan jemputan kepada Trump kerana beliau secara terbuka menyokong dan membolehkan jenayah terhadap kemanusiaan yang sedang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di X.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan AS menunjukkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.

“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke AS sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN