Jalan baharu Lipis-Jerantut hadiah untuk penduduk, pelancong

Jalan baharu Lipis-Jerantut hadiah untuk penduduk, pelancong

JALAN baharu Lipis-Jerantut melalui Kampung Gemunchur dan Kampung Batu Balak dapat merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan daerah Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pembukaan jalan baharu Lipis-Jerantut melalui Kampung Gemunchur, Lipis dan Kampung Batu Balak di sini pada 31 Ogos lalu membuka lembaran baharu perhubungan darat antara kedua-dua daerah tersebut.

Pembukaan jalan raya sejauh 17 kilometer dari persimpangan Kampung Mela, Lipis melalui Kampung Gemunchur dan Kampung Batu Balak kemudiannya menyeberangi Sungai Tembeling dengan jambatan baharu ke Kampung Labu merupakan hadiah ‘kemerdekaan’ kepada kira-kira 3,000 orang penduduk mukim Kuala Tembeling dan Tembeling Tengah di daerah ini.

Pembukaan jalan itu kepada semua kenderaan darat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 turut memberikan manfaat secara langsung buat kira-kira 20,000 pengusaha pelancongan, pusat inap desa, pelancong luar dan pelawat domestik ke Taman Negara Kuala Tahan serta perkampungam pesisir Sungai Tembeling.

Kemudahan jalan raya itu turut memudahkan pengangkutan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan dari kawasan Pahang Barat termasuk negeri lain di pantai barat Semenanjung menggunakan laluan di Lipis untuk memendekkan jarak perjalanan malah lebih selamat.

Sebelum kemudahan itu direalisasikan, pengusaha bas pelancongan dari Pahang Barat dan negeri berdekatan terpaksa menggunakan laluan Lipis ke bandar Jerantut, kemudiannya melalui persimpangan Jerantut Feri-Felda Padang Piol sehinggalah sampai ke Taman Negara Kuala Tahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Balak, Mohd. Johari Umar berkata, jalan baharu itu adalah hadiah sempena Hari Kebangsaan Ke-68 kepada kira-kira 100 penduduk Kampung Batu Balak yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah, pekebun sawit serta nelayan sungai.

“Kampung ini belum ada jalan raya sejak negara merdeka pada 1957 dan inilah kali pertama kami berkenderaan ke Kampung Mela dan bandar Kuala Lipis (Lipis) termasuk ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Sebelum ini, penduduk di sini menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Tembeling ke Kampung Labu (mukim Tembeling Tengah) dan pekan Kuala Tembeling (mukim Kuala Tembeling) untuk berbelanja keperluan dapur dan urusan tertentu di bandar Jerantut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Tekoma Resort Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, kemudahan berkenaan memberi peluang penduduk membantu merancakkan sektor pelancongan daerah ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×