WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Israel tidak akan meneruskan serangan di Qatar selepas kejadian minggu lalu yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.
“Dia (Netanyahu) tidak akan menyerang Qatar,” kata Trump merujuk kepada Perdana Menteri Israel ketika menjawab pertanyaan wartawan di Pejabat Oval semalam.
Menurut Trump, Qatar adalah sekutu rapat Washington yang jarang diketahui umum.
“Qatar sekutu baik kita dan dia (Netanyahu) tidak akan menyerang Qatar. Dia mungkin akan terus memburu mereka (Hamas),” katanya tanpa mengulas lanjut.
Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana seolah-olah memberi ruang kepada Israel untuk terus menyasarkan pemimpin Hamas di negara Teluk berkenaan.
Trump turut menafikan laporan laman berita Axios yang mendakwa Netanyahu memaklumkan beliau secara peribadi sebelum serangan peluru berpandu Israel ke atas Doha pada Selasa lalu.
“Tidak, mereka tidak berbuat begitu,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau mengetahui serangan itu, Trump menjawab: “Dengan cara yang sama seperti anda tahu.”
Rumah Putih dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan, Pentagon hanya memaklumkan mengenai serangan tersebut selepas peluru berpandu Israel sudah dilepaskan, sekali gus menyebabkan Trump tidak sempat membantah. -AGENSI










