Israel keterlaluan

Israel keterlaluan

KEPULAN asap hitam kelihatan dari sebuah bangunan selepas letupan akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di ibu negara Qatar, Doha, kelmarin, dalam operasi yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Serangan mengejut Israel di Doha, Qatar kelmarin yang menyasarkan pemimpin Hamas menerima kutukan dan kecaman seluruh dunia dengan mereka menyifatkan tindakan itu amat melampau dan keterlaluan.

Ia merupakan serangan pertama Israel terhadap Qatar yang menjadi pengantara utama rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas selain menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) terbesar di rantau itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau Israel yang melancarkan serangan tersebut.

Katanya, tindakan agresif yang melam­pau ditujukkan Israel merupakan satu pencabulan nyata terhadap kedaulatan Qatar dan ia jelas merupakan satu pe­langgaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, serangan­ terhadap Qatar dan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan pembunuhan beramai-ramai dan membiarkan baki rakyat di wilayah itu kebuluran bukan lagi bersifat manusiawi sebaliknya adalah manusia jelmaan syaitan.

Katanya, orang Israel tidak mungkin sebahagian daripada manusia kerana seseorang insan tidak sanggup melakukan apa yang sedang dilakukan rejim tersebut di Gaza dan menyerang Qatar.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Qatar dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel yang dianggap pengecut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan serangan udara itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Qatar.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam perang Gaza perlu berusaha ke arah mencapai gencatan senjata kekal, bukannya menghancurkan peluang untuk mencapainya.

Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dalam kenyataannya turut mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan kejam Israel serta pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara sekutu, Qatar.

Bahkan, kementerian turut menegaskan solidariti penuh kerajaan itu bersama Doha.

Riyadh pada masa sama memberi amaran mengenai akibat serius jika rejim Israel terus melakukan pencabulan jenayah dan melanggar prinsip undang-undang serta norma antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri Turkiye pula menegaskan tindakan itu membuktikan Israel tidak berminat untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Gaza.

“Serangan terhadap delegasi perundingan Hamas ketika rundingan gencatan senjata masih berjalan menunjukkan Israel tidak berniat untuk mencapai keamanan, sebaliknya mahu meneruskan perang.

“Kejadian itu adalah bukti jelas Israel mengamalkan politik peluasan wilayah di rantau ini serta menjadikan keganasan sebagai dasar negara,” kata kenyataan itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyatakan sokongan kepada Doha dengan mengecam serangan khianat Israel.

Penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, Anwar Gargash menegaskan, keselamatan negara Teluk Arab tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dan negaranya akan kekal teguh bersama Qatar.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menyifatkan serangan Israel yang melanggar kedaulatan Qatar berisiko mencetuskan peningkatan konflik di rantau berkenaan.

Turut senada, Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menyifatkan serangan terhadap Qatar adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima, tanpa mengira apa pun alasan.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni pula menyatakan sokongan penuhnya kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Al Thani, selain menegaskan pendirian negaranya menyokong semua usaha menamatkan perang di Gaza.

Kesatuan Eropah (EU) berkata, sebarang peningkatan perang di Gaza mesti dielakkan kerana tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Setiausaha Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem al-Budaiwi turut menyatakan solidariti kepada Qatar serta menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘tindakan hina dan pengecut’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN