KANGAR: Hasil pendapatan nelayan di negeri ini didakwa merosot sehingga 80 peratus sekali gus menyaksikan golongan itu mula beralih kepada pekerjaan lain bagi mencari pendapatan meneruskan kesinambungan hidup.
Luah mereka, ikan seperti kembung dan senangin yang sebelum ini banyak di perairan negeri ini dilihat kian berkurangan sejak awal tahun ini.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan nelayan yang berjam-jam di laut pernah pulang dengan tangan kosong dan menanggung kerugian apabila hasil tangkapan tidak seperti diharapkan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis, Asri Jab berkata, situasi tersebut berkemungkinan disebabkan faktor cuaca dan gangguan di kawasan pembiakan semula jadi yang mendorong kepada pengurangan hasil.
Katanya, selain itu, pencerobohan nelayan luar yang menggunakan bubu naga bagi mengaut hasil siput seperti retak seribu di kawasan itu juga menjadi antara faktor menyebabkan ekosistem tanah di bawah perairan menjadi rosak.
Ujarnya, ia sekali gus turut menganggu kawasan pembiakan semula jadi disebabkan ekosistem tanah di bawah rosak sekali gus menganggu hasil tangkapan nelayan di perairan di sini.
“Pendapatan dan hasil nelayan sejak kebelakangan ini terjejas teruk dan merosot sehingga 80 peratus dan situasi tersebut sangat memberi kesan kepada nelayan di negeri ini.
“Jika sebelum ini nelayan mampu meraih pendapatan antara RM2,000 ke RM3,000 sebulan, sekarang hendak dapatkan hasil tangkapan pun susah, malah ada yang terpaksa pulang dengan tangan kosong.
“Disebabkan itu, ada nelayan terpaksa melakukan pekerjaan lain buat sementara waktu kerana memerlukan sumber pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Asri, hasil pemerhatian, ikan-ikan khususnya kembung dan senangin yang sememangnya banyak di perairan negeri ini mula berkurangan sejak awal tahun ini.-UTUSAN