Guna e-dompet, baucar digital lebih praktikal

Guna e-dompet, baucar digital lebih praktikal

SUASANA lebih tenang untuk pelanggan menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 di sebuah kedai runcit di Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemindahan te­rus bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 ke akaun pengguna atau penggunaan dompet elektronik dan baucar digital adalah alternatif lebih praktikal, selagi kawalan penggunaan dapat dilaksanakan.

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, amalan negara jiran menunjukkan pendekatan yang pelbagai, dengan memberikan penekanan kepada aspek digita­lisasi, fleksibiliti dan ketelusan.

Sebagai contoh, katanya, Singapura melaksanakan gabungan bantuan tunai dan e-baucar yang bersasar dan efisien, serta bergantung kepada sistem digital yang mantap.

“Di Singapura, penduduk menerima baucar digital yang boleh digunakan di kedai tempatan iaitu ‘Community Development Council (CDC) Vouchers dan ada juga bantuan tunai dimasukkan terus ke akaun bank penerima yang layak, dikenali sebagai ‘GST Vouchers’.

“Kita boleh mengaplikasikan e-dompet yang terhad penggunaannya, contohnya hanya boleh digunakan di kedai runcit atau pasar raya tertentu. Baucar digital bersasar juga boleh digunakan melalui aplikasi kerajaan seperti MySejahtera,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas kelewatan kelewatan pemprosesan transaksi di­sebabkan berlaku lonjakan tinggi jumlah pembelian pada hari pertama penyaluran SARA, katanya, pemindahan terus ke akaun bank penerima dapat mengurangkan kesesakan di premis fizikal.

Katanya, ia juga memboleh­kan penerima memilih bara­ngan mengikut keperluan sebenar serta mengelak kebergantungan kepada sistem imbasan kad di kedai, yang terbukti bermasalah.

“Kita boleh mencontohi Indonesia yang melaksanakan bantuan tunai bersyarat (Program Keluarga Harapan).

“Wang dimasukkan ke dalam akaun bank, tetapi penerima perlu mematuhi syarat seperti menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan vaksin. Kaedah ini memberi fleksibiliti kepada pe­nerima, sambil memastikan objektif sosial tercapai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemindahan wang secara langsung juga mempunyai risiko ketirisan, jika kawalan dan pemantauan tidak dilakukan dengan teliti.

“Misalnya, ada kemungkinan wang tersebut tidak digunakan untuk keperluan asas seperti makanan atau keperluan rumah,” katanya.

Beliau berkata, sistem pembe­lian menggunakan MyKad sememangnya praktikal bagi tujuan pengesahan identiti penerima dan mengelakkan penyelewengan.

Bagaimanapun, pelaksanaan besar-besaran bantuan berjumlah RM100 boleh menjadi tidak efisien jika sistem sokongan teknikal tidak mencukupi.

“Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah berlaku ke­sesakan di premis akibat keperluan untuk mengimbas MyKad, kegagalan sistem menyebabkan pembeli tidak dapat membuat transaksi.

“Ia juga membebankan pekerja kedai kerana terpaksa menyusun semula barangan yang ditinggalkan akibat transaksi gagal.

“Walaupun sistem ini wajar daripada segi keselamatan dan penapisan, namun ia bukanlah kaedah paling praktikal dalam keadaan sistem tidak bersedia sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih cekap dan menyeluruh memerlukan kerajaan memperluas penggunaan MyDigital ID kepada semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, sistem MyDigital ID yang dibangunkan oleh kerajaan sudah wujud, namun penggunaannya perlu diperluaskan secara menyeluruh sebelum boleh digunakan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan secara bersasar.

“Kita boleh kuatkuasakan pemberian subsidi bersasar melalui MyDigital ID. Namun, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sistem itu membolehkan penerima subsidi yang layak untuk log masuk dan menggunakan kod pengimbas QR yang dijana dalam aplikasi MyDigital ID ketika membuat pembelian di kedai.

“Bila kita log in dan kita layak terima bantuan, kita hanya perlu tunjuk kod pengimbas QR daripada sistem itu di kedai. Scan sahaja untuk tebus subsidi. Mudah dan telus,” katanya.

Sebagai alternatif, beliau turut mencadangkan supaya sistem sedia ada seperti MySejahtera yang mempunyai jumlah pendaftaran tinggi semasa pandemik Covid-19 digunakan semula bagi tujuan penyaluran bantuan.

“Ramai sudah berdaftar masa Covid-19 guna MySejahtera. Jadi, kita juga boleh salurkan bantuan melalui sistem itu yang sudah mempunyai data pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN