GAZA: Pejabat Media Gaza memaklumkan lebih sejuta penduduk Palestin, termasuk 350,000 kanak-kanak, masih berada di Gaza City dan kawasan utara, meskipun berdepan serangan berterusan Israel.
Menurut pejabat itu, Israel memaksa lebih 800,000 orang berkumpul di kawasan al-Mawasi yang serba kekurangan dan tidak mempunyai keperluan asas untuk hidup.
Ia menegaskan, penduduk menolak rancangan pemindahan paksa ke selatan ketika Israel semakin agresif melakukan pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai.
Israel sebelum ini mengisytiharkan pemindahan terbaharu akan bersifat kekal,sesuatu yang dianggap sebagai jenayah kerana melanggar undang-undang antabangsa.
“Kami menegaskan lebih sejuta penduduk Palestin, termasuk 350,000 kanak-kanak, kekal teguh di tanah, rumah dan harta mereka, sambil menolak sepenuhnya rancangan pemindahan paksa ke selatan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.
Selain itu, pasukan pemantau mendapati ada penduduk yang berpindah semula dari selatan ke Gaza City dan kawasan utara kerana keadaan di bahagian itu tidak mempunyai kemudahan asas untuk kelangsungan hidup.
Pejabat itu berkata, kira-kira 68,000 penduduk dipaksa berpindah ke selatan akibat pengeboman dan ancaman pembunuhan beramai-ramai.
Namun, lebih 20,000 kembali ke kawasan asal setakat Khamis selepas mendapati keadaan di selatan yang lebih mengerikan untuk hidup.
Pejabat itu menegaskan, kawasan al-Mawasi di Khan Younis dan Rafah, yang kononnya didakwa sebagai zon kemanusiaan selamat, dibom lebih 109 kali oleh Israel, menyebabkan lebih 2,000 kematian.
Katanya, kawasan tersebut tidak mempunyai hospital sebenar, infrastruktur atau perkhidmatan asas seperti khemah, tempat perlindungan, air, makanan, elektrik dan akses pendidikan.
Ia turut menegaskan zon perlindungan yang ditetapkan hanya meliputi kurang daripada 12 peratus keluasan Gaza, dengan mengutuk cubaan Israel untuk memaksa lebih 1.7 juta orang berhimpun di kawasan sempit itu.- ANADOLU










