Definisi buli perlu jelas, spesifik

Definisi buli perlu jelas, spesifik

Definisi buli
AZALINA Othman Said berucap pada Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Selangor dekat Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Definisi buli yang secara spesifik dan jelas antara tumpuan utama dibangkitkan masyarakat dalam usaha membanteras gejala negatif itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, definisi tindakan itu diminta ditakrifkan secara jelas supaya tindakan susulan lebih tersusun dan berimpak dapat dilaksanakan.

“Kita kena kaji, rata-rata banyak beri komen tentang definisi dan tribunal perlu cepat diselesaikan (prosesnya). Sebagai kerajaan, kita tidak mahu beri definisi buli daripada kajian antarabangsa sebab Malaysia berbilang kaum dan agama. Jadi, bila (anjur) town hall, ada pandangan itu.

“Undang-undang kita ada beberapa kategori kesalahan yang boleh dilihat sebagai tindakan buli,” katanya pada sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Selangor yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan hukuman bersesuaian juga antara perkara perlu diperhalusi sebelum kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Tribunal Antibuli di Parlimen.

“Sebab itu (gubal) buat undang-undang tidak boleh syok sendiri. Kadang-kadang ahli politik di Parlimen cakap macam-macam tapi yang nak guna, rasai undang-undang adalah rakyat. Sebab itu, kerajaan Madani nak dengar pandangan.

“Sebenarnya dalam Kanun Keseksaan, ada beberapa situasi menggambarkan elemen buli tapi definisi teknikal itu tidak diwujudkan. Ada negara definisikan buli suatu pergerakan berulang, jadi perlukah kita ada definisi buli itu, ia dibincangdalam TownHall ini,” ujarnya.

Kata beliau, masyarakat turut diminta memperluaskan perbincangan isu itu dalam konteks individu melebihi 18 tahun supaya RUU kelak bukan saja menjamin keselamatan pelajar malah individu di tempat kerja.

“Namun, fasa pertama Rang Undang-Undang itu buat masa ini akan memfokuskan kepada mereka di bawah 18 tahun terlebih dulu,” katanya.

Tambah Azalina, sesi townhall itu akan diteruskan ke Johor esok dan seterusnya bergerak ke negeri di utara sebelum RUU Tribunal Antibuli dibentangkan di Parlimen.

Utusan Malaysia pada 7 September lalu melaporkan RUU itu dijangka dibawa ke dalam persidangan Parlimen pada Oktober ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN