Beruang di Turkiye sakit perut gara-gara makan buah berlebihan

Beruang di Turkiye sakit perut gara-gara makan buah berlebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Seekor beruang seberat hampir 200 kilogram mencuri perhatian rakyat Turkiye apabila rakaman video yang memaparkannya dibawa menaiki pengusung sebelum menjalani imbasan MRI tular di media sosial minggu ini.

Beruang diberi nama Okan itu mengalami sakit perut selepas dikatakan makan terlalu banyak buah-buahan sebelum dihantar ke Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Istanbul Cerrahpaşa untuk menerima rawatan, namun kemudian dibenarkan pulang.

“Beruang kami, Okan, dibawa masuk dengan aduan sakit perut dan ketidakselesaan di bahagian abdomen. Doktor veterinar di Pusat Rehabilitasi Çekmeköy segera mengesan masalah pada perutnya,” kata Pengerusi Lembaga Kompleks Alam dan Kehidupan Semula Jadi Istanbul, Burak Memişoğlu, dipetik CNN Turk.

Menurutnya, imbasan CT dijalankan bagi memastikan tiada ketumbuhan dikesan, sementara ujian darah turut menunjukkan keputusan normal.

“Okan kini sihat, jinak dan gembira. Tidak lama lagi dia akan berendam di kolam untuk menyejukkan badan,” katanya.

Okan kembali dipamerkan di taman hidupan liar tersebut dan pengunjung seronok melihat aksinya bermain sambil mengenalinya daripada liputan berita.

Ini bukan kali pertama Okan mengalami masalah sama di mana tiga tahun lalu, beruang itu turut diberi rawatan akibat makan buah berlebihan dan pada waktu itu jugalah ia diberi nama popular ‘Okan’ oleh seorang pekerja baharu pusat berkenaan.

“Ketika itu, pekerja kami yang tidak mengetahui nama asal beruang ini secara spontan menggunakan namanya sendiri, lalu sejak itu beruang berkenaan didaftarkan sebagai Okan,” jelas Memişoğlu.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, pihak pusat hidupan liar kini memantau rapi pemakanan Okan.

“Doktor veterinar dan pakar biologi kami menyesuaikan pengambilan makanan haiwan di sini. Okan kini diberikan buah-buahan serta sayuran bermusim, manakala pada musim sejuk dia makan ikan bonito dan madu,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN