Barah rasuah

Barah rasuah

AZAM Baki dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gejala rasuah di negara ini semakin membarah apabila pelaku tidak lagi mengenal darjat daripada pegawai bank, pegawai kerajaan berpangkat Jusa, pasukan keselamatan, syarikat korporat hinggalah orang politik.

Peningkatan jenayah terbabit menun­tut tindakan lebih tegas daripada Suru­han­jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanterasnya di peringkat akar umbi.

Semalam SPRM mendedahkan pihaknya akan mengheret dan menyita aset beberapa individu yang disyaki terbabit dalam skandal penyelewengan dana awam.

Antaranya adalah membekukan 37 akaun membabitkan nilai lebih RM17.5 juta susulan penahanan empat individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpangkat Jusa B.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembekuan itu membabitkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham.

Kata beliau, turut disita wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM1.1 juta, Euro 12,300, pound sterling 9,920 dan dolar Singapura (SGD) 24,280.

Turut disita dua buah kereta mewah bernilai RM650,000 dan beg tangan serta kasut berjenama mewah bernilai RM100,000.

“Setakat ini, seramai 16 orang sudah dirakam percakapan termasuk pegawai dan tiga yang ditahan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Selain itu, kata Azam, SPRM akan mendakwa 20 pegawai bank yang disyaki meluluskan RM700 juta pinjaman kepada penjawat awam, membabitkan pelbagai bank pada akhir bulan ini atau awal Oktober.

Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an, ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Menurut Azam, kesemua mereka akan dituduh mengikut Akta SPRM, dengan pihaknya juga mendapat persetujuan pemulihan semula wang tunai sebanyak RM250 juta.

“Sekiranya pemulihan gagal dicapai, pihak terbabit akan dituduh di mahkamah kerana tidak bersetuju membuat recovery (pemulihan) wang itu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 atau Akta Pencegahan Pengu­bahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

SPRM juga katanya, akan mendakwa sembilan lagi individu berhubung siasatan kes pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Lebuh Raya Mex II.

Kesemua mereka dipercayai terbabit dengan transaksi kewa­ngan yang dikaitkan dengan Pe­ngarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Kelmarin, Abu Sahid dan iste­ri­nya, Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi didakwa atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta serta pengubahan wang haram berjumlah lebih RM200 juta.

Turut didakwa, bekas pengarah sebuah syarikat yang juga pemegang konsesi lebuh raya ber­kenaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya bernilai lebih RM300 juta, lapan tahun lalu.

Sementara itu, empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah membabitkan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut akan turut didakwa.

Ia susulan pembongkaran sa­tu sindiket penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok dan barang-barang lain didalangi pegawai-pegawai kanan ATM selepas 10 individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan SPRM dalam Op Sohor.

Suspek-suspek dipercayai menerima rasuah berjumlah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan.

Dalam pada itu, Azam berkata, sebanyak RM170 juta wang tunai yang disita dalam siasatan kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Ia selepas pihak responden tidak mencabar permohonan SPRM untuk melucut hak aset yang dirampas dalam kes ber­kenaan.

Beliau turut memberitahu, siasatan berhubung aset milik Tun Dr. Mahathir Mohamad masih diteruskan.

Mengenai kes penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah, Azam berkata, siasatan kes itu telah selesai dan ditutup dengan TPR memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN