LONDON: Sebuah institusi pertahanan paling berprestij di United Kingdom (UK), Royal College of Defence Studies (RCDS) mengumumkan larangan terhadap penyertaan pelajar dari Israel bermula tahun depan.
Larangan itu susulan tindakan ketenteraan Tel Aviv di Semenanjung Gaza yang digambarkan beberapa pegawai Kesatuan Eropah (EU) berunsur genosid.
Kerajaan UK pada Ahad mengesahkan kolej berusia hampir satu abad itu tidak lagi menerima pelatih dari Israel.
RCDS yang terkenal sebagai pusat pendidikan pertahanan sekian lama berperanan memupuk pemahaman dalam kalangan pegawai tentera, diplomat, penjawat awam serta pemimpin antarabangsa.
Setiap tahun, kira-kira 110 peserta tempatan dan luar negara mengikuti programnya.
Alumni ternama termasuk Field Marshall Alan Francis Brooke dan bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf.
Menurut The Telegraph, kursus pascasiswazah kolej itu memberi tumpuan kepada isu politik, diplomatik, keselamatan, sosial dan ekonomi pada tahap strategi besar di mana kerajaan membuat keputusan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.
Kursus utamanya pula bersifat lebih praktikal berbanding teori.
Larangan terhadap warga Israel ini merupakan yang pertama sejak penubuhan RCDS pada 1927 dan dilihat sebagai tindakan terbaru kerajaan UK menghukum Israel berhubung serangan berdarah di Gaza.
Jurucakap Kementerian Pertahanan UK menegaskan, kursus pendidikan ketenteraan Britain terbuka kepada peserta dari pelbagai negara, namun semua pihak harus menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Keputusan kerajaan Israel untuk terus meningkatkan operasi ketenteraan di Gaza adalah salah. Konflik ini mesti diselesaikan secara diplomatik dengan segera melalui gencatan senjata, pembebasan tebusan serta peningkatan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza,” tambahnya.
Minggu lalu, kerajaan UK turut melarang pegawai Israel daripada menghadiri pameran senjata terbesar di negara itu.
Selain itu, London berikrar akan mengiktiraf negara Palestin dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hujung bulan ini sekiranya Israel enggan bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza dan berkomitmen untuk tidak menakluk Tebing Barat. -AGENSI









