6,103 kawasan berisiko bencana

6,103 kawasan berisiko bencana

NOR HISHAM MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 6,103 kawasan berisiko bencana menjelang musim tengkujuh yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, seba­nyak 5,648 kawasan berisiko banjir di seluruh negara, manakala 254 kawasan dikenal pasti sebagai cerun kritikal atau berisiko tanah runtuh dan 201 kawasan pula berisiko berlaku kepala air.

Katanya, data itu diperoleh daripada pemantauan di negeri-negeri dan agensi berkaitan seperti Jabatan Peng­airan dan Saliran Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagi kawasan berisiko banjir, Sarawak merekodkan kawasan tertinggi iaitu 1,066 kawasan diikuti Sabah (798).

“Di Semenanjung, Pahang merekodkan jumlah tertinggi kawasan berisiko dilanda banjir iaitu 750 lokasi, diikuti Johor (745), Kelantan (617), Perak (286), Selangor (271), Kedah (260) dan Terengganu (258).

“Selain itu, 241 lokasi be­risiko banjir direkodkan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (120), Kuala Lumpur (73), Me­laka (24), Perlis (22) dan Labuan (7),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Hisham berkata, Sabah mencatatkan lokasi terbanyak bagi kawasan berisiko berlakunya kepala air dengan 52 lokasi.

“Diikuti negeri Kedah (39), Sarawak (19), Kelantan (18), Terengganu (18), Perak (17), Negeri Sembilan (17), Selangor (6), Johor (5) dan Perlis (5).

“Turut terlibat tiga kawasan di Pahang dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Me­laka,” katanya.

Bagi risiko cerun kritikal, beliau berkata, Sabah juga dilaporkan memiliki jumlah ter­tinggi iaitu 36 kawasan, manakala negeri-negeri lain seperti Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Selangor masing-masing merekodkan sekitar 21 hingga 25 kawasan.

“Angka ini sudah pasti me­nunjukkan cabaran besar yang perlu dihadapi oleh JBPM terutamanya menjelang musim tengkujuh.

“Bagaimanapun JBPM sentiasa bersiap sedia dari segi aset, anggota dan pengoperasian bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku insiden di kawasan berisiko ini,” katanya.

Mengulas kejadian lemas, Nor Hisham berkata, bagi tempoh 2020 hingga 2024, seba­nyak 1,359 kematian dilaporkan melibatkan kes lemas di sungai, tali air, pantai, air terjun, jeram termasuk pembetung dengan purata 272 kematian setahun.

Tambahnya, dua kumpulan umur berisiko tinggi yang dikenal pasti adalah tujuh hingga 19 tahun iaitu sebanyak 30 peratus; manakala 20 hingga 39 tahun adalah 36 peratus.

“Bagi tahun ini, setakat Ogos lalu, JBPM merekodkan seba­nyak 188 kes lemas melibatkan 179 kematian, enam mangsa cedera, manakala 63 mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam merancang aktiviti luar sewaktu cuti sekolah.

“Langkah penting dalam me­rancang termasuk memantau ramalan cuaca harian, mengelakkan aktiviti berisiko tinggi semasa hujan lebat atau ribut serta memastikan rumah dan kende­raan berada dalam keadaan selamat sebelum keluar.

“Perancangan perjalanan juga perlu diberi perhatian, khususnya di kawasan berisiko banjir kilat atau tanah runtuh.

“Penggunaan teknologi se­perti aplikasi amaran bencana, sistem pemantauan cuaca masa nyata dan saluran maklumat rasmi daripada JBPM atau agensi berkaitan wajar dimanfaatkan bagi membuat keputusan lebih tepat dan pantas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN