Lebih 300 rakyat Korea Selatan ditahan dalam serbuan kilang Hyundai-LG di AS

300 rakyat Korea Selatan ditahan dalam serbuan kilang bateri di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Lebih 300 warga Korea Selatan antara 475 individu ditahan oleh pihak imigresen Amerika Syarikat (AS) dalam satu serbuan di kilang bateri Hyundai-LG, yang sedang dibina di negeri selatan Georgia.

Operasi pada Khamis di bandar Ellabell itu merupakan serbuan terbesar di satu lokasi setakat ini, di bawah kempen anti-migran seluruh negara yang dilancarkan Presiden Donald Trump, menurut seorang pegawai AS.

Rakaman serbuan yang dikeluarkan pihak berkuasa AS menunjukkan pekerja yang ditahan dalam keadaan bergari tangan dan berantai di pergelangan kaki, sebelum dibawa menaiki bas pengangkutan banduan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serbuan itu berpunca daripada siasatan terhadap ‘dakwaan amalan pekerjaan menyalahi undang-undang dan jenayah persekutuan’ di kilang usaha sama Hyundai Motor-LG Energy Solution, kata ejen khas Siasatan Keselamatan Dalam Negeri di Atlanta, Steven Schrank.

“Ini bukan operasi imigresen di mana ejen masuk ke premis, mengumpulkan orang ramai dan memasukkan mereka ke dalam bas. Ini adalah siasatan jenayah berbulan-bulan,” katanya.

Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun dalam mesyuarat tergempar di Seoul berkata, daripada 475 individu yang ditahan, lebih 300 dipercayai warganegaranya.

“Kami amat bimbang dan merasakan tanggungjawab besar mengenai perkara ini,” katanya sambil memaklumkan akan ke Washington untuk mengadakan rundingan.

Schrank berkata, mereka yang ditahan berada di AS secara haram dan bekerja secara tidak sah.

Beliau menjelaskan, mereka yang berada dalam tahanan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE) untuk kemungkinan dihantar pulang.

Kilang tempat serbuan itu dilakukan bertujuan membekalkan bateri untuk kenderaan elektrik.

LG Energy Solution pada Sabtu memaklumkan, 47 pekerjanya ditahan, 46 warga Korea Selatan dan seorang rakyat Indonesia.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×