18 pensyarah UiTM penyelidik terbaik dunia

18 pensyarah UiTM tersenarai dalam dua peratus penyelidik terbaik dunia

Penyelidik
UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 18 pensyarah dan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersenarai dalam dua peratus penyelidik terbaik dunia bagi pencapaian pada 2024 dan sepanjang kerjaya.

Mereka adalah ahli akademik dari Fakulti Sains Gunaan, Prof. Madya, Dr. Ali H. Jawad Al-Taie, Dr. Sikiru Surajudeen Olalekan dan Dr. Lee Seng Hua; Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Damayanthi Rurairajanayagam, Prof. Dr. Ahmad Nazrun Shuid dan Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim.

Turut diiktiraf, dari Kolej Kejuruteraan iaitu Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, Prof. Dr. Mohammad Asadullah, Prof. Madya Dr. Chang Siu Hua dan Prof. Dr. Syed Shatir Asghrar Syed-Hassan; Fakulti Farmasi, Prof. Dr. Wong Tin Wui serta Prof. Dr. Kalavathu Ramasamy dan Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, Dr. Ahmad Asri Abd. Samat.

Malah, Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Prof. Dr. Mohd. hafiz Mohd. Hanafiah; Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Prof. Dr. Fadzlan Sufian @ Sofian dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Prof. Dr. Adem Kilicman turut diiktiraf.

Selain itu, sebahagian daripada mereka turut tersenarai dalam kalangan dua peratus penyelidik terbaik dunia sepanjang kerjaya oleh Elsevier BV dan Universiti Stanford iaitu Ali H. Jawad, Mohammad Assadullah, Tin Wui, Fadzlan Sufian, Adem Kilicman dan Siu Hua.

Tiga ahli akademik lain iaitu Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Dr. Mohamad Rusop Mahmood; Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Raymond Azman Ali dan Fakulti Farmasi, Prof. Dr. Ahmed Mahmoud Ahmed Alafeefy juga menerima pengiktirafan sama.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada kesemua ahli akademik berkenaan dan memaklumkan pengiktirafan tersebut menegaskan kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang semakin disegani di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ia selari dengan aspirasi negara bagi melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi.

“Ia bukan sahaja kejayaan individu, malah pencapaian kolektif yang mencerminkan kesungguhan UiTM dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan berimpak besar kepada masyarakat, industri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemilihan oleh Elsevier BV dan Universiti Stanford dibuat berdasarkan penilaian teliti melibatkan sitasi, produktiviti penyelidikan serta sumbangan kepada komuniti global.

Justeru, beliau dan UiTM yakin kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan inovatif yang dapat menyokong agenda Malaysia Madani dalam membina masyarakat berilmu dan mampan.

“Dengan kekuatan lebih 9,004 ahli akademik dan penyelidik di seluruh negara, UiTM terus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia dan dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN