Wanita warga China dipenjara cederakan pegawai Imigresen

Wanita warga China dipenjara cederakan pegawai Imigresen

FANG Fu Yuan dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Sepang semalam bagi berdepan pertuduhan mencederakan seorang pegawai Imigresen di KLIA, Terminal 1, Sepang minggu lalu.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang wanita warganegara China dihukum penjara sebulan dan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas dia mengaku bersalah mencederakan pegawai kaunter Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Fang Fu Yuan, 31, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga ibu kepada dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang Pegawai Imigresen, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman semasa dia melaksanakan tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter Imigresen, Aras 4, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 pada pukul 8 malam, 13 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pe­ngadu telah diminta untuk mengalihkan tertuduh dan tiga ahli keluarganya kerana didapati ti­dak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia, bagi memberi laluan kepada penumpang Bangladesh yang berada di belakang tertuduh.

Ketika diarahkan untuk ke tepi, tertuduh telah bertindak agresif dengan meninggikan sua­ra, menarik tudung pengadu dan menolak muka serta kepala pengadu ke tiang di hadapan kaunter.

Akibat tindakan tertuduh itu, pengadu mengalami gegaran kepala, kecederaan di bahagian kiri muka, pedih bawah mata serta bengkak kemerahan.

Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Luvithaa Veerasamy manakala tertuduh diwakili peguam, Tai Yin Fung dan Jason Anthony.

Media sebelum ini melaporkan, bimbang terlepas penerba­ngan punca wanita warga China mencederakan pegawai di kaunter imigresen ketika pe­meriksaan pelepasan di KLIA.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×