Wan Zikri soal Ridzuan ada jumpa Exco Selangor minta masuk petanque dalam Sukma ? - Utusan Malaysia

Wan Zikri soal Ridzuan ada jumpa Exco Selangor minta masuk petanque dalam Sukma ?

WAN Zikri Afhtar Ishak ketika mengemukakan soalan dalam sesi sidang DUN Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harapan pasukan petanque Perlis yang menjadi prospek pingat emas untuk negeri ini menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mungkin terkubur apabila tidak disenaraikan sebagai salah satu acara di dalam sukan itu.

Justeru, Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) mempersoal Pengerusi Jawatankuasa Sukan negeri, Mohd. Ridzuan Hashim sama ada sudah mengadakan perbincangan dengan Exco Sukan Selangor bagi meminta pertimbangan agar acara sukan berkenaan dimasukkan.

Wan Zikri berkata, beliau difahamkan sukan petanque yang menjadi salah satu prospek emas Perlis tidak disenaraikan di dalam Sukma 2026 yang akan berlangsung di Selangor.

Katanya, sukan petanque antara sukan berpontensi sejak sekian lama dan pasukan tersebut juga sudah lama berlatih dengan harapan untuk menyertai Sukma 2026.

Soal Wan Zikri, adakah Exco Sukan negeri sudah mengadakan perbincangan dengan Exco Selangor berkaitan perkara itu.

“Kita harap sukan petanque dapat dimasukkan dan jika tidak, apakah perancangan kerajaan negeri untuk pasukan petanque Perlis yang sudah berlatih sejak tahun lalu lagi atau mereka akan ditinggalkan begitu sahaja.

“Saya prihatin sebab saya lihat bagaimana usaha mereka selama ini berlatih untuk menyertai temasya sukan terpenting itu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan berhubung perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Menjawab soalan itu, Mohd. Ridzuan berkata, setiap kali menjelang Sukma di setiap negeri yang menjadi rumah, mereka akan mencadangkan sukan-sukan tertentu yang menjadi pilihan memenangi pingat.

“Benda ini berlaku pada setiap Sukma terutama membabitkan tuan-tuan rumah. Mesyuarat sebelum ini bersama Exco-Exco yang diwakili pengarah dimaklumkan tidak dimasukkan (petanque) dalam acara Sukma 2026. Saya tidak pasti atas apa alasan tetapi keadaannya begitulah.

“Saya belum lagi berbincang dengan Exco tuan rumah, Insya-Allah kita akan berbisik-bisiklah dengan Exco-Exco negeri lain supaya dimasukkan juga petanque (dalam acara Sukma 2026,” katanya.

Terdahulu Wan Zikri juga mengemukakan soalan mengenai berapa sasaran pingat bagi Sukma Selangor pada tahun 2026.

Menjawab soalan itu, Mohd. Ridzuan berkata, Perlis menyasarkan sasaran 20 pingat emas selaras dengan titah Raja Muda Perlis pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri ini pada 30 Ogos 2024,

“Untuk tujuan itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis bermesyuarat pada setiap bulan bagi meneliti dan mensasarkan potensi pingat emas mengikut sukan dan atlet prospek dan menyediakan laporan khas persediaan Sukma 2026 kepada jawatankuasa
pengurusan MSNPs,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN