WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin pada 15 Ogos depan di Alaska.
Trump turut mencadangkan kemungkinan pertukaran wilayah sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir antara Moscow dan Kyiv untuk menamatkan perang di Ukraine.
“Perjumpaan yang sangat dinantikan antara saya sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Presiden Vladimir Putin dari Russia, akan berlangsung hari Jumaat depan, 15 Ogos, di Alaska,” kata Trump di laman Truth Social, kelmarin.
Sebelum ini, beliau memberitahu di Rumah Putih akan ada pertukaran wilayah yang menguntungkan Russia dan Ukraine, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Kremlin kemudian mengesahkan sidang kemuncak tersebut dan menyifatkan lokasi itu sebagai ‘agak logik’.
“Presiden sendiri sudah pasti akan memberi tumpuan untuk membincangkan pilihan bagi mencapai penyelesaian damai jangka panjang dalam krisis Ukraine,” kata pembantu Kremlin, Yuri Ushakov, dalam kenyataan disiarkan di Telegram.
Pertemuan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pemimpin berkenaan sejak 2019 dan antara Presiden AS serta Russia sejak pendahulu, Joe Biden bertemu Putin di Geneva pada 2021.
Tiga pusingan rundingan antara Russia dan Ukraine gagal membuahkan hasil, dan masih belum jelas sama ada sidang kemuncak itu akan hampir mencapai keamanan.
Putin sebelum ini menolak beberapa gesaan daripada AS, Eropah dan Ukraine untuk gencatan senjata.
Dalam rundingan di Istanbul bulan lalu, perunding Russia mengemukakan tuntutan wilayah yang tegas untuk menghentikan serangan mereka, memintak Kyiv berundur dari beberapa wilayah yang dikawalnya dan menolak sokongan ketenteraan Barat.- AFP










