Tindakan pantas KDN dihargai - PERMAS - Utusan Malaysia

Tindakan pantas KDN dihargai – PERMAS

AMIN Auzaie Ibrahim.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam membela nasib ahli keluarga Allahyarham koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan cukup dihargai.

Timbalan Pengerusi II Pertubuhan Peduli Masyarakat (PERMAS), Amin Auzaie Ibrahim berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil tindakan pantas dan penuh tanggungjawab dalam menguruskan pemergian anggota yang sanggup mengorbankan jiwanya sendiri.

“Allahyarham koperal Hafizul bukan sahaja seorang anggota keselamatan, malah wira negara yang mempertahankan keamanan awam dengan penuh keberanian dan semangat juang yang tinggi.

“Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah kepada negara seluruhnya,” katanya di sini hari ini.

Amin Auzaie berkata, langkah tersebut juga bertepatan dengan prinsip kebertanggungjawaban sosial kerajaan terhadap golongan yang berkhidmat mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa lebih 120,000 anggota barisan hadapan berada dalam kategori berisiko tinggi, terutama dalam sektor keselamatan dan kesihatan awam.

“Justeru, perlindungan kebajikan mereka amat penting bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan yang efisien dan berintegriti,” katanya.

Dalam masa sama, Amin Auzaie berkata, PERMAS menyeru agar pendekatan yang diambil oleh Saifuddin dijadikan model kepimpinan dalam sektor awam yang berpaksikan nilai kemanusiaan, kecekapan pentadbiran dan kesungguhan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah contoh terbaik seorang Menteri Dalam Negeri yang bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab secara formal, tetapi juga tampil sebagai pelindung dan pembela barisan hadapan negara.

“Sokongan menyeluruh terhadap keluarga Allahyarham juga menzahirkan bahawa kerajaan hari ini tidak membiarkan wira-wira negara dilupakan selepas pengorbanan mereka, sebaliknya terus dihargai dan dikenang jasa mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×