KUALA LUMPUR: Tiada unsur penderaan dikesan pada tubuh pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa yang ditubuhkan mendapat tiada tindakan berbentuk penderaan sepanjang latihan daripada keterangan semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih.
Malah katanya, bedah siasat yang dilakukan Hospital Kota Tinggi turut mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan dapatan ini selari dengan hasil siasatan pihak polis.
“Latihan itu diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
“Arwah meninggal sehari selepas latihan diadakan dan tempat latihan tersebut bukan seperti di asrama. Daripada kadet yang terlibat mengatakan tiada penderaan fizikal,” katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2025 di Wisma Perwira, di sini semalam.
Syamsul Haris sebelum ini meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor.
Susulan kejadian tersebut, satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kematian Syamsul Haris terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, punca sebenar kematian akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat yang mengambil masa tiga bulan.
“Setakat ini, analisis makmal belum dikeluarkan lagi dan kita akan tunggu nanti,” jelasnya.
Mohamed Khaled dalam masa yang sama berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada polis jika terdapat bukti baharu yang menunjukkan terdapatnya unsur jenayah.
Beliau juga berkata, keputusan untuk menjalankan bedah siasat kedua terhadap mayat tersebut diserahkan kepada polis dan hospital. – UTUSAN










