Teras A7 RMK-13 bantu kerajaan perkukuh mitigasi, adaptasi banjir negara - Utusan Malaysia

Teras A7 RMK-13 bantu kerajaan perkukuh mitigasi, adaptasi banjir negara

FADILLAH Yusof (tiga kiri) bersama Mohd. Nassaruddin Daud semasa merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan menetapkan Teras A7 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah utama dalam usaha memperkukuh mitigasi dan adaptasi banjir bagi memastikan negara lebih bersedia berdepan bencana alam yang semakin kompleks dan berisiko tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata strategi secara menyeluruh, bersepadu dan menggunakan pendekatan inovatif dilaksanakan bertujuan mengurangkan risiko musibah banjir dan melindungi nyawa serta harta benda rakyat.

“Tiga strategi utama yang telah digariskan iaitu menyegerakan pelaksanaan infrastruktur mitigasi banjir dengan pendekatan struktur dan bukan struktur. Selain itu, memperkukuh adaptasi banjir dengan teknologi dan konsep moden, serta memantapkan tadbir urus melalui perancangan guna tanah yang sistematik.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk pembangunan sistem maklumat berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS), perluasan sistem amaran awal menggunakan kecerdasan buatan (AI), penggunaan bekas lombong sebagai kolam takungan, pembinaan rumah terapung, konsep ‘sponge city’ dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” katanya semasa berucap pada Majlis Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama yang Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Fadillah yang Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memberitahu, kerajaan akan mengkaji skim pembiayaan dan insurans pasca banjir bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta komuniti yang terjejas.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan kekal menjadi peneraju pengurusan sumber air negara dan pemudah cara dasar air di semua peringkat.

“Petra mahu JPS terus menjadi organisasi berprestasi tinggi yang berpegang pada nilai integriti, profesionalisme dan keberkesanan.

“Hal ini supaya setiap dasar dan projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air komited untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Air Negara sebagai pemacu kepada transformasi sektor air negara.

Menurutnya, ia bagi memastikan bekalan air yang selamat, berdaya maju dan lestari kepada rakyat.

“Usaha itu bukan sahaja memperkukuh keterjaminan sumber air negara, malah turut mendorong negara ke arah menjadi hab air dinamik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Pelaksanaan itu juga membuka peluang pekerjaan baharu selain memudahkan penyelidikan dan pembangunan,inovasi dan pengkomersialan sektor air,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN