PRU16: Pejuang intai kerusi DAP - Utusan Malaysia

PRU16: Pejuang intai kerusi DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘hilang dari radar’ apabila tewas di kesemua 125 kawasan ditandingi bahkan semua calon hilang deposit.

Adakah perjuangan Pejuang sudah terkubur atau masih relevan dalam realiti politik masa kini?

Ikuti wawancara bersama Presiden Pejuang, DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR bersama wartawan ROSHIHAN ANNUAR YUB, FITRI NIZAM dan HAFIZ SAIDINA serta jurugambar, MUHAMMAD IQBAL ROSLI dan jurukamera ZUID IKH RAL.

BERCITA-CITA BESAR,TIADA KEMAMPUAN

MINGGUAN: Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pejuang seolah-olah lesu, tidak boleh bergerak solo dan tidak dapat tempat di hati pengundi. Di mana silapnya?
MUKHRIZ: Kita belajar daripada kesilapan dahulu. Antara kesilapan itu adalah meletakkan diri terlalu tinggi dan sasaran terlalu besar, bercita-cita besar tapi kemampuan tiada, di Johor kita bertanding 42 kerusi, kalah semua.

Kita tawarkan diri seolah-olah hendak ambil alih kerajaan. Walaupun Pejuang ketika itu di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) tetapi masih tidak cukup untuk meyakinkanpengundi,  track record kita terletak kepada individu (Tun M) bukan parti dan individu itu pun masa terlibat, dalam parti lain.

Kesilapan kedua kami buat adalah mengulangi strategi lama di Johor itu dalam PRU15 iaitu bertanding bawah Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan lambang Pejuang.

Saya mengaku ketika itu kami membuat kaji selidik berkenaan dengan kemungkinan Pejuang boleh menang atau tidak, di kawasan mana, calon bagaimana pengundi hendak, kami hanya boleh bertanding 25 kerusi. Tetapi apabila tertubuhnya GTA dengan gabungan tiga parti lain, tiba-tiba bertanding 125 kerusi.

Ketiganya, kami tidak umumkan calon Perdana Menteri sedangkan parti lain mengetengahkan poster boy masing-masing dan kami juga terlalu meletakkan harapan tinggi kepada Tun M seolah-olah dia bertanding 125 kerusi. Padahal di Langkawi sahaja, jadi memang wipe out.

Jadi, kali ini memang kami tahu tidak boleh berseorangan, sebab itu saya cadangkan gabungan blok ketiga yang berpakat dengan gabungan lebih besar, bagi Pejuang tentulah kami tak baik dengan PH dan UMNO, jadi boleh bayangkan dengan siapa kami berbincang, tapi belum mencapai kata sepakat lagi. Namun saya lihat ada nilai tambah yang boleh kami sumbangkan.

Jadi, apa hala tuju politik Pejuang?
Hala tuju Pejuang adalah menyokong 100 peratus ‘Payung Besar Melayu’ yang diilhamkan Tun M iaitu untuk menyatukan kuasa politik orang Melayu, tidak kiralah parti, individu dan NGO. Dan Ia wajib dilakukan supaya orang Melayu tak lagi berpecah dan merugikan kita.

Sambil itu, dalam perbincangan saya dengan Tun M dan beberapa parti politik Melayu sebelum ini, saya bertanya adakah kerajaan yang bakal ditubuhkan sekiranya menang pada PRU16, adakah akan 100 peratus orang Melayu atau berkongsi kuasa dengan bangsa lain?

Semua beri jawapan (kerajaan itu) tetap campuran walaupun didominasi orang Melayu. Tetapi harus orang Melayu berintegriti. Kita tidak mahulah ‘kleptokrat’ dan sebaganya memimpin kita tetapi pemimpin bukan Melayu mesti ada.

Kita lihat pembangkang ketika ini memang dalam Perikatan Nasional (PN), ada Gerakan, MIPP, Bersatu juga ada bersekutu, jadi penglibatan masyarakat bukan Melayu itu sudah ada tetapi di luar banyak lagi parti campuran yang aktif yang mungkin tiada wakil rakyat, tapi apabila bubar Parlimen nanti itu sudah tak kira, kita akan mula daripada kosong.

Jadi, saya rasa perlu buat sesuatu untuk meyakinkan bukan Melayu supaya memberi sokongan gerakan politik yang lebih besar.

KERJASAMA DENGAN DAP
Adakah gabungan disertai Pejuang akan bekerjasama dengan DAP di masa depan jika masih belum cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan?
Soalan ini saya pernah tanya dalam perjumpaan dengan semua pemimpin Melayu sebelum ini, adakah akan ada rundingan dengan DAP sekiranya tidak cukup kerusi?

Walhal dalam retorik politik, kita gasak dia hari-hari. Semua kata no way. Ia tak akan berlaku. Jika begitu saya kata kita kena bersedia dari sekarang.

Perlu buat sesuatu untuk bertanding di kerusi dalam bandar dan pesisiran bandar. Kawasan yang mungkin orang Melayu bukan majoriti termasuk Seputeh yang majoriti undi mereka ratus ribu, tapi takkan hendak biarkan mereka.

Sekurang-kurangnya kita cubalah takkan hendak bagi mereka menang percuma. Inilah realiti politik yang harus kita telan. Pendekatannya, kita kena bawa naratif yang boleh dihadam masyarakat bukan Melayu juga.

Bagaimana mahu berdepan DAP di kerusi bandar dan pesisiran bandar sedangkan gabungan parti bukan Melayu dalam PN dan parti kecil yang aktif itu tidak menyerlah?
Perkara ini ada dibangkitkan dalam pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memanggil semua parti kecil untuk berbincang. Pejuang dan parti lain bercadang untuk menubuhkan satu gabungan baharu yang bertujuan bertanding 50 ke 60 kerusi dalam bandar dan pesisiran bandar.

Parti dalam gabungan ini tentunya banyak yang campuran, saya harap contohnya macam MUDA, Malaysian Advancement Party (MAP) yang dipimpin P. Waytha Moorthy, PSM, United for the Rights of Malaysians Party (URIMAI) pimpinan Dr. P. Ramasamy dan banyak lagi parti yang walaupun kecil tetapi mereka ada peranan.

Harapan kami jika kita boleh berpakat dan tarik sokongan bukan Melayu maka kita juga mengharap rakan di PN dapat bantu dengan undi Melayu kerana undi Melayu juga penentu walaupun dalam bandar, contohnya di luar bandar jika undi majoriti iaitu orang Melayu itu berpecah, undi minoriti adalah penentu, kenapa tidak menggunakan formula sama di kawasan bandar?

Bagaimana hendak tarik sokongan orang Melayu sedangkan P. Waytha Moorthy dan P. Ramasamy kurang disenangi kerana isu-isu terdahulu?
Seperti yang kita buat dalam PRU14 dulu, kita nampak ada mudarat lebih besar yang perlu ditangani bersama. Kalau kita ingat Tun M sampai boleh berjabat tangan dengan Anwar dalam mahkamah. Itu titik permulaan untuk penyatuan sampai ke tahap PH menerima Tun M sebagai calon Perdana Menteri, Pengerusi PH, sehingga menang untuk menumbangkan BN yang sudah bertapak lebih 60 tahun.

Jadi, saya sangat faham, kita mungkin ada perbezaan, tapi perbezaan itu boleh kita anggap macam kecil berbanding mudarat lebih besar kita hadapi kalau benarkan Kerajaan Madani kekal.

Bayangkan, saya ketika Menteri Besar Kedah dulu, P. Ramasamy ini Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, saya bergaduh dengan dia banyak kali, isu Sungai Batu, isu kuil dan sebagainya, tapi sekarang ini duduk semeja bincang kerana kita nampak yang kita tiada pilihan tetapi harus mencari satu titik pertemuan supaya boleh bergerak sederap kerana jika kita berpecah ada orang lain akan menikmati manfaatnya. Jadi, kita kena berkompromi.

KEMBALI KEPADA UMNO, BERSATU
Pernah terfikir untuk kembali sertai Bersatu atau UMNO?
Saya rasa payah sikit sebab kita ada ramai ahli yang menaruh harapan tinggi yang kita asaskan bersama.

Saya akui Pejuang ini parti kecil tapi semangat juang itu tinggi, saya tidak boleh khianati harapan mereka, jadi kalau boleh kita cari formula bagaimana boleh bekerjasama, itu lebih baik.

Tak sesuai dalam suasana politik sekarang untuk minta Pejuang bubar atau diserap ke mana-mana parti. Ia bukan formula yang kita boleh terima.

Pandangan mengenai Kerajaan Madani?
Kerajaan sekarang tidak ada fokus. Lebih kepada firefighting maksudnya, cuba padamkan api sahaja dan tidak melihat punca serta apa masalah yang lebih menyeluruh yang memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk memahami cara untuk selesaikan.

Contohnya, soal ekonomi, pendidikan, sosial dan macam-macam lagi. Negara ini bukan boleh kita spontan atau sesuka hati bagi jawapan untuk menyelesaikan masalah.

Dalam kerajaan, terdapat pentadbiran dan pegawai-pegawai berperanan untuk mengenal pasti isu sebenar serta merangka cara mengatasinya. Kenapa kepimpinan politik tidak memanfaatkan tenaga pakar seperti ini?

Dahulu kita ada Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Kita turut mengambil pakar dari luar contohnya, Datuk Idris Jala yang dibawa masuk. Kemudian, ditubuhkan pula Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang dilihat seakan bersaing dengan EPU.

Sebenarnya, kita memiliki kepakaran itu. Walaupun ada berpendapat cara pemikiran kita tidak banyak berubah atau kurang progresif, tapi usaha untuk memperbaikinya tetap boleh dilakukan.

Ada berpendapat kerajaan akan fokus bekerja pada penggal pertama dan rakyat lihat hasil pada penggal kedua. Komen?
Kitaran politik Malaysia hanya lima tahun, dan lazimnya tempoh itu dibahagi kepada dua. Semasa kempen, pelbagai janji bersifat populis ditaburkan.

Begitulah juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun tidak mempunyai bilangan kerusi mencukupi, beliau terpaksa bergabung dengan BN, GRS dan pihak lain untuk membentuk kerajaan.

Separuh penggal pertama digunakan untuk membuat keputusan yang tidak popular, manakala separuh penggal kedua pula untuk memujuk kembali rakyat agar menyokongnya, meskipun dasar-dasar dilaksanakan tidak popular. Masalahnya, retorik semasa kempen terlalu tinggi, sehingga beliau berjanji segala-galanya kepada rakyat.

Saya mengakui sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan selepas ini akan mewarisi masalah besar iaitu kewangan negara agak tenat.

Sebenarnya ada cara untuk mengatasinya, tetapi kerajaan tidak melaksanakannya. Inilah cabaran politik, kita perlu berterus terang kepada rakyat.

Saya percaya sudah tiba masanya rakyat mendengar perkara yang mungkin tidak menyenangkan, tetapi penting untuk difahami, supaya mereka dapat membuat keputusan dengan bijak tanpa mudah terpengaruh dengan janji populis.

Hakikatnya, sesiapa yang membentuk kerajaan selepas ini akan memikul beban berat. Jika mahu menyelesaikannya untuk jangka panjang, kita perlu berani buat keputusan yang mungkin tidak popular. Namun, politik lazimnya hanya pentingkan populariti.

Saya berharap, politik kita pada masa depan bukan sahaja pemimpin atau parti perlu berubah, tetapi rakyat juga. Pilihlah yang tegas, tidak menjanjikan segalanya dan berterus terang dengan rakyat. Jika ada masalah, pemimpin akan kata: “Ya, kita ada masalah.”

DENDAM POLITIK
Komen Datuk Seri terhadap kenyataan Anwar kepada keluarga Tun M?
Negara kita berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang, maka kita wajib mematuhinya. Antara yang terpenting adalah memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Itu satu perkara yang sangat kita setuju. Pada masa sama, setiap dakwaan mestilah disokong dengan bukti kukuh.

Beban pembuktian terletak pada pihak yang membuat dakwaan dan ia tidak boleh hanya berasaskan syak semata-mata.

Bukti yang jelas perlu dikemukakan, dan jika wujud prima facie, barulah mahkamah boleh memutuskan untuk membicarakannya. Itulah prosesnya.

Bayangkan saya menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki RM100 bilion di luar negara. Apabila ditanya apa buktinya, saya jawab itu tidak penting, yang penting beliau perlu memulangkan wang tersebut kerana kononnya ia milik rakyat. Bolehkah begitu caranya?

Tidaklah boleh saya menuduh beliau memiliki RM100 bilion di luar negara, kemudian meminta beliau pula membuktikan dakwaan itu tidak benar. Undang-undang seperti itu langsung tidak wujud. Bebanan bukti terletak di atas orang yang menuduh.

Apa yang beliau lakukan hanyalah dendam politik, perkara yang diulang sejak 1998 dan bukannya sesuatu yang baharu. Sebelum ini, ketika kita bekerjasama, kita mengetepikan perbezaan. Maka, segala perseteruan terdahulu sepatutnya sudah tidak timbul lagi.

Sebab itu, saya persoalkan, jika benar menganggap Tun M sebagai perasuah, mengapa bersalam dengannya dan tidak menepis tangannya ketika di mahkamah? Kalau benar mahu memerangi rasuah, ramai juga dalam kerajaan yang terlibat tetapi diketepikan.

Impian dalam karier politik?
Impian saya untuk Pejuang adalah menjadikannya sebuah ‘kilang’ melahirkan pemimpin muda Melayu berkaliber, berwibawa dan adai hala tuju jelas untuk negara.

Saya sudah berusia 60 tahun dan melihat kepada trend dunia, semakin ramai pemimpin negara datang daripada golongan muda.

Saya mahu perkara sama berlaku di Malaysia agar kita dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkualiti. Namun, menarik minat orang muda dalam politik bukanlah mudah. Ramai sudah muak dengan ahli politik dan saya memahami mengapa mereka begitu.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka, sebaliknya perlu membuktikan politik yang bersih dan berprinsip itu wujud. Kami mahu menonjolkan politik tidak sepatutnya sinonim dengan rasuah. Sebaliknya, politik boleh jadi wadah yang bawa kebaikan mensejahterakan semua.

MB KEDAH
Pandangan Datuk Seri mengenai kepemimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor?
Beliau mempunyai gayanya tersendiri. Jika kita melihat sejarah kepimpinan di Kedah, personaliti sebegitu memang lazim menjadi Menteri Besar dan rakyat Kedah umumnya menerima baik tokoh politik seperti itu.

Yang penting, saya lihat beliau tidak menghalang kemajuan negeri, malah membenarkan sektor swasta dan pentadbiran negeri melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga Kedah mampu membangun.

Masalah yang dihadapi sudah tentu berpunca daripada perbezaan dengan Kerajaan Pusat. Ini cabaran berbeza sedikit bagi saya, kerana saya sendiri tidak pernah mengalami situasi seperti beliau hadapi sekarang, di mana kerajaan negeri berbeza dengan Kerajaan Pusat.

Dua kali saya jadi Menteri Besar, kedua-duanya saya bersama dengan Kerajaan Persekutuan ketika BN dan PH. Jadi, kerjasama saya dapat daripada Kerajaan Pusat memang baik.

Bagi Sanusi, cabarannya adalah macam mana beliau sebagai orang politik cuba memupuk hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan yang tidak mesra kepada Kedah. Jadi, mungkin dengan karakternya berlainan, ada masanya bila berbual santai, memang mudah mesra dan senang berkawan. Tetapi dalam arena politik, dia agak cengil, tegas dan lantang di atas pentas.

Persoalannya, bagaimana pula reaksi pihak pelaksana? Tambahan pula, jika berdepan dengan Datuk Seri Saifuddin yang mengawasi PH Kedah, maka ibarat bertemu buku dengan ruas antara kedua-duanya.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan usaha dan pencapaian Sanusi. Namun, saya kurang puas hati perhatian dan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat terhadap negeri itu.

Siapakah pemimpin muda dalam pelbagai parti hari ini yang berkaliber?
Biasanya, pemimpin muda lebih vokal, dan persepsi kita terhadap mereka sering dibentuk melalui cara mereka bercakap atau bertindak. Antara yang sering kita lihat ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh dan Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz.

Saya berharap lebih ramai pemimpin muda diberikan peluang kerana kita semua perlu melalui proses latihan dan pembelajaran. Seperti saya dulu ketika muda dalam UMNO, memang ibarat ‘kilang latihan’ kerana hampir setiap minggu ada sesi latihan. Kami belajar cara menguruskan Pemuda di peringkat cawangan dan bahagian, urus kewangan, serta persiapan menghadapi pilihan raya.

Komen bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo masuk Bersatu?
Bayangkan Khairy Jamaluddin, Khir Toyo dan saya yang dahulu merebut kerusi Pemuda UMNO dan sekarang kami bertiga di luar dari UMNO. Daripada persoal keputusan dia (Khir Toyo), lebih baik kita bertanya, apa sebenarnya berlaku dalam UMNO sehingga tokoh lama bukan sahaja keluar, malah ada dipecat parti itu?

Saya masih punyai ramai kenalan dalam UMNO. Saya terserempak dengan beberapa ahli UMNO, mereka datang mengambil gambar dan bertanya: “Bila hendak balik UMNO?” Saya mengingatkan mereka bahawa saya sudah dipecat.

Adakah UMNO benar-benar bersedia menerima kami kembali? Bukanlah kami terlalu mengharapkannya, tetapi seperti kes Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau sendiri tidak tahu atas alasan apa digantung keahliannya.

Dulu terdapat Lembaga Disiplin yang menjalankan siasatan dengan teliti. Mereka yang disiasat akan dipanggil beri penjelasan dan diberi peluang membela diri. Jika hujah meyakinkan, keputusan boleh diubah. Namun kini, sebaliknya berlaku keputusan tergantung begitu sahaja tanpa proses yang adil.

Sebab itu, saya faham kenyataan Hishammuddin, sebab mereka (UMNO) mahu beliau merayu atas kesalahan apa, selain tidak sokong Presiden Parti. Jadi, apa yang saya lihat terhadap Khir Toyo adalah kelemahan UMNO.

Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi juga antara bermasalah. Bagi saya, antara punca utama apabila individu seperti dia menjadi suara mewakili UMNO. Ia hanya menimbulkan rasa tidak puas hati dan meluat dalam kalangan rakyat. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN