Sikap tidak menyerah pemain bawa kejayaan NSFC

Sikap tidak menyerah kalah pemain bawa kejayaan NSFC

MOHD. Nidzam Jamil pada perlawanan Liga Super di antara NSFC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam semalam.--UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kemenangan epik pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) ke atas Selangor FC dengan keputusan 2-1 semalam tidak hanya menggembirakan lebih 25,000 penyokong yang hadir malah sudah tentu kepada ketua jurulatih pasukan itu, Mohd. Nidzam Jamil.

Dia mengakui cukup berpuas hati dengan keupayaan ditunjukkan para pemainnya yang mampu membangkit meski ketinggalan sehingga minit ke-83 perlawanan.

“Kami ada situasi separuh masa pertama dan kedua yang berbeza. Kami gembira tentang bagaimana mendapatkan jaringan tersebut. Bagaimana kami terus menekan sehingga minit yang terakhir. Tetapi bukan mudah untuk bermain dengan pasukan baik seperti Selangor,” katanya.

Mohd. Nidzam berkata demikian kepada pemberita sebaik tamat perlawanan Liga Super di antara kedua-dua pasukan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pelawat mendahului menerusi pemain pertahanan, Richmond Tetteh Ankrah seawal minit ke-12.

NSFC kemudian bangkit pada 10 minit terakhir aksi menerusi dua gol pemain gantian bertubuh kecil dari Jepun, Mio Tsuneyasu pada minit ke-83 dan 90 perlawanan.


MOHD. Nidzam Jamil ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara NSFC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam semalam.–UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI

Mohd. Nizam juga memuji sikap para pemain yang enggan menyerah mudah walaupun pada separuh masa pertama dan sebahagian masa separuh masa kedua mereka berdepan dengan tentangan hebat Selangor FC.

“Ya benar. Kami berdepan situasi yang menyaksikan hantaran-hantaran tidak menjadi tetapi barisan pertahanan bertahan dengan baik.

“Para pemain senior dan baharu faham bahawa mereka perlu mencari jalan untuk mendapatkan gol penyamaan dan terus mencari peluang untuk menang,” ujarnya.

Jurulatih itu yang pernah membimbing Selangor musim lalu itu turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir hingga tiket habis dijual.

“Bukan mudah untuk bermain di depan 25,000 seperti ini. Saya pun tidak ingat bila kali terakhir stadium ini penuh. Tapi kami gembira dan kami amat menghargainya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×